Sabtu, 31 Julai 2010

Melayu Mundur Jika UMNO Kalah Adalah Tahyul - Mat Sabu

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menyifatkan pendapat yang mengatakan jika Umno kalah, maka Melayu juga kalah atau mundur adalah tahyul dan merupakan satu tafsiran mengarut.

Katanya, kepimpinan Umno lazimnya membuat kenyataan tahyul itu bahawa sekiranya Umno kalah dalam pilihan raya nanti, masyarakat Melayu akan hidup dalam suasana kelam kabut atau tertekan sebagaimana zaman Jepun.

Padahal, jelasnya jika Umno kalah, maka PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu parti yang seagama dengan kepimpinan Umno pula akan memegang tampuk pemerintahan serta meneruskan kelangsungan perjuangan tetapi berlainan pendekatan untuk membela rakyat.

"Bila Umno kalah, PAS dan PKR pula yang akan teruskan perjuangan tapi kali ini bukan macam Umno yang berkepentingan dan kroni, kita akan urus tadbir negara dengan baik," tambahnya semasa berucap dalam program ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS di Dataran Kompleks An-Nadhoh, Penanti malam tadi.

Jumaat, 30 Julai 2010

Pendemokrasian Dalam Islam - Oleh Yusuf Al-Qardhawi

Kediaman MB, Shah Alam, 10 Sya'ban = 22 Julai (Khamis):

Entah kali keberapa kuliah bulanan di kediaman Menteri Besar yang diadakan petang hari Khamis (malam Jumaat) aku tidak tahu, tapi inilah kali kedua yang aku ada masa menghadirinya. Siapa pun yang mengajar dia mesti menyambung pengajaran yang telah dilakukan oleh guru sebelumnya.

Teks adalah satu, iaitu Fiqhud-Daulah fi al-Islam oleh al-Allamah Syeikh Yusuf al-Qardhawi ulama semasa yang amat terkenal itu. Buku mengenai Politik Pentadbiran Di Dalam Islam. Tetapi tafsiran berpelbagaian bergantung kepada guru. Masa aku hadir kali pertama dulu yang mengajar – Mentafsir ialah Prof. Madya Ustaz Ruslan Muhammad dari Universiti Malaya. Kali ini yang mengajar ialah Ustaz Dr. Azhar Yaakob dari Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Bezanya kali ini berganda ramainya yang datang berbanding kali pertama aku datang dahulu. Jumlah mencecah 250 orang. Ada ketua-ketua kg. dan ahli JKK datang sejauh Tanjung Karang dan Kuala Langat.

Kali ini topik dari buku yang aku beri rumusan sebagai – Pendemokrasian Di Dalam Islam. Sebenarnya masa mengikuti kuliah tiap orang dibekalkan dengan teks berkenaan, macam baca Yasin dan tahlil semua orang diedar dan diberi satu naskhah untuk dibaca. Sesudah dibaca dipulangkan. Banyaknya teks Fiqhud- Daulah, hampir setiap orang mendapati teks untuk diikuti, ia diedarkan kepada hadirin selepas wirid dan doa sembahyang Maghrib. Ada seorang jamaah mendekati Menteri Besar (selepas pengajaran) memohon memiliki sebuah teks yang diikuti.

Kata Menteri Besar, ``Ok, boleh, ambil, ambillah.``

Barangkali yang datang dari jauh. Mungkin untuk buat kenang-kenangan. Bukan mudah dapat bersama Menteri Besar, berpeluang bersembahyang sama sesaf, macam di surau di kampong sama berpakaian baju Melayu dan berkain pelikat yang sudah agak lusuh dan dapat bersalam selepas wirid dan doa. Kedua-dua kali aku datang YAB Menteri Besar Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim hadir – aku tak tahu pada kali yang lain. Suasana mencerminkan sifat demokrasi, ketua negeri bersama bersila bersama rakyat, bagai tidak ada beza. Mana biasa sebuah kediaman Menteri Besar dapat dinikmati duduk di dalamnya rakyat jelata. Sekurang-kurangnya rumah bagai istana, bukan saja dapat didatangi, tetapi dapat dinikmati bersama, walaupun di dalam tempoh masa yang terhad.

Teks yang dibaca dan dihurai oleh Dr. Azhar tentang pendemokrasian di dalam Islam. Bahawa pada harta kekayaan yang dimiliki individu, ada bahagian daripadanya menjadi hak bagi rakyat miskin. Pemilikan harta kekayaan oleh orang kaya, tidak didapati kekayaan secara berseorang. Misalnya kalau dia seorang kontrektor, dia bergantung kepada tenaga pekerja boroh dan banyak lagi konteknya dengan manusia dari berurusan seperti pentadbir, perkeranian dan membawa kepada jaga. Mungkin dari segi bayaran dibuat lebih rendah dan tidak sepadan dengan tenaga yang diberi oleh pekerja-pekerja kepada majikan. Di samping itu banyak lagi kemudahan yang didapati, misalnya dari segi keselasaan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan dan keamanan yang dinikmati dari wujudnya polis dan tentera yang dinikmati dari pemerintah yang sebenarnya tidak dibayar nilainya. Sebab itu orang kaya ini sebenarnya perlu membayar hak-hak rakyat, kuli, boroh dan kemudahan dari pemerintah yang dinikmati. Hak yang kena dibayar ini ada atas nama zakat, cukai, lesen, hasil tanah dan sebagainya. Ini adalah kewajipan orang kaya yang harus dibayar secara tidak langsung yang merupakan hak bagi rakyat, apabila hasil bayaran itu digunakan untuk kemudahan rakyat seperti jalanraya, khidmat kesihatan, air percuma dan sebagainya. Ayat al_Qur`an menegaskan:

Bermaksud:

Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sadaqah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk; dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Amat Mendengar, lagi Amat Mengetahui. (Al-Taubah: 103).

Ayat di atas menegaskan sifat pendemokrasian di dalam Islam. Dari satu sudut lagi mencerminkan sifat kebajikan di dalam Islam. Ustaz Dr. Azhar menyebut bahawa tidak sempurna iman seseorang, walaupun dia menunaikan kewajipan fardu seperti sembahyang, puasa dan Haji jika jiran dan dalam kelompok masyarakatnya ada anak yatim dan fakir miskin tidak diambil perhatian dan dibiarkan mereka di dalam kesusahan dan penderitaan. Mereka ini patut dibela oleh pemerintah dan orang-orang yang berada. Firman Allah bermaksud:

Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajatinya dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati, ``Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu, semata-mata kerana Allah; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih.`` (Al-Insan: 8-9).

Tentang anak yatim Al-Qur`an mengingatkan, jika ada harta peninggalan bagi anak yatim, maka hendaklah dijaga sebaik mungkin bagi manfaatnya. Firman Allah bermaksud:

Janganlah kamu mendekati (menggunakan) harta anak yatim melainkan dengan cara terbaik bagi manfaatnya sehingga dia mampu mentadbir hartanya sendiri (Al-An`am: 152).
Ustaz Dr. Azhar menambah, kita hendaklah mengasihi dan rahmat terhadap anak yatim. Mereka kehilangan kasih sayang yang sepatutnya didapati dari ibu bapa mereka yang telah meninggal. Beliau menyebut maksud Hadith:

Jika kita bersua dengan anak yatim kita hendaklah melahirkan rasa rahmat dan kasih sayang, seseorang yang mengusap rambut kepala anak yatim nescaya Allah memberi pahala kepadanya sebilangan rambut anak yatim tersebut.

Pengajaran yang didapati pihak pemerintah dan juga mereka yang berada tidak boleh mengabaikan faqir miskin, orang susah dan anak-anak yatim. Mereka hendaklah dibela dengan menyediakan skim bantuan, perumahan yang mampu mereka miliki dan pekerjaan yang boleh mereka dapati bagi menampung kehidupan mereka. Bagi anak yatim pula mereka hendaklah dijaga dan dibela dari segi persediaan tempat tinggal, makan minum, pelajaran dan kebajikan. Mereka hakikatnya sebahagian dari masyarakat yang menyempurnakan masyarakat berkenaan sekiranya mereka disempurnakan.

Demikianlah dua aspek penting yang dibicara dan dihurai oleh Ustaz Dr. Azhar pada malam itu.
Lebih kurang 9.30 malam sembahyang Isyak berjamaah didirikan di bawah pimpinan Imam Muda yang mungkin setiap kali Kuliah didatangkan dari Masjid Negeri. Selepas bersembahyang sunat dan bersalam-salaman semua yang hadir, terutama dengan MB, dijemput makan malam.
Aku juga makan bersama MB bersebelahan dengannya dan di Sebelahku YB Dr. Ahmad Yunus bin Hairi ADUN Sijangkang, seorang lagi Wakil Rakyat yang hadir ialah YB Yaakob bin Sapari Exco, tapi beliau tidak berkesempatan makan bersama kerana ada urusan. Selepas makan, hampir semua yang datang, sebelum pulang datang menemui YAB Menteri Besar bersalam dan tentunya bersalam sama denganku dan yang lain semeja dengan YAB. Kami menunggu hingga orang terakhir datang menemui YAB dan tentunya antara yang terakhir pulang.

Ahad, 25 Julai 2010

Elok Mufti Perak nasihat Umno elak bercakaran


KOTA BHARU, 25 Julai: Isu kesungguhan Umno dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengajak PAS menjalin perpaduan turut mendapat perhatian pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia.

Mereka mengambil kesempatan tersebut dengan mengajukan isu berkenaan kepada anggota Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa ketika berada di Acheh, Khamis Khamis lalu.

Pelajar terbabit bergabung di bawah Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cabang Aceh (PKPMICA).

Merungkai persoalan itu, Husam meminta Mufti Perak supaya menyatukan ahli-ahli Umno dahulu sebelum menjadi orang tengah bagi menyatukan parti PAS dan parti berteras kebangsaan tersebut.

“Ahli-ahli Umno pun dok berbalah sesama sendiri. Lihat apa yang berlaku di Rantau Panjang dan Sungai Petani, macam mana PAS dan Umno nak bersatu.

“Sepatutnya Tan Sri Harussani memberi nasihat kepada ahli Umno dahulu supaya tidak bercakaran sesama mereka, barulah boleh jadi orang tengah menyatukan PAS dan Umno,” katanya ketika diaju soalan oleh seorang pelajar Malsysia pada perjumpaan tersebut.

Husam bersama delegasi dari Kelantan berada di Acheh pada 21 hingga 23 Julai lalu bagi mengadakan kerjasama lebih erat dengan pemerintah wilayah berkenaan.
Mereka turut mengunjungi hormat wakil Gabenor di pejabat pemerintah.

Mufti Perak minggu lepas mengesahkan pemimpin Umno dan PAS menemuinya bagi membincangkan kerjasama kedua-dua parti berhubung perpaduan Melayu dan umat Islam.

Menurutnya beliau tidak pernah berputus asa bagi menyatupadukan orang Melayu dengan mengharap kerjasama antara Umno dan PAS.

Bagaimanapun anggota Exco kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang mengesahkan bertemu dengan Harussani dua bulan lalu bukan membincangkan perpaduan di antara Umno dan Umno.

Menurutnya pertemuan tersebut diadakan secara terbuka sebagai mewakili kerajaan Selangor.

Husam yang juga anggota jawatankuasa PAS Pusat berkata, isu penyatuan antara PAS dan Umno dianggap membuang masa sahaja.

Katanya juga kerjasama PAS bersama DAP tidak boleh dinilai seperti kerjasama PAS dan Umno.

“Kalau nak bandingkan kerjasama PAS dan DAP, sepatutnya kena bandingkan kerjasama Umno bersama MCA dan MIC.

“Jangan samakan kerjasama PAS dan Umno, itu tak betul dan tidak adil. Kenapa Umno boleh berkerjsama dengan MCA dan MIC, tetapi apabila PAS berkerjasama dengan DAP tak boleh,” katanya.

Beliau juga berkata, pemimpin Umno sekarang cuba mempengaruhi rakyat dengan mengatakan sekiranya Umno hilang kuasa, Melayu akan merana.

“Apabila Umno hilang kuasa, PAS boleh mengisi tempat tersebut. Sebenarnya apa yang hilang ialah kuasa untuk mengagih-agihkan projek kerajaan kepada kroni-kroni Umno dan menghabiskan harta rakyat,” katanya.

Pada majlis itu Husam menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada PKPMICA.
Seramai 150 pelajar Malaysia kini melanjut pengajian di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry.

Kebanyakan mereka lepasan pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS). Turut sama dalam majlis perjumpaan itu Yang DiPertua PKPMICA, Mohd Zulkarnian Aman Ghazali.
Rizal Tahir

Khamis, 22 Julai 2010

Najib: Jangan buat andaian rakyat meluat dengan Umno



Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menafikan rakyat sudah meluat dengan parti itu, sebaliknya menegaskan komponen utama Barisan Nasional (BN) tersebut mempunyai lebih daripada tiga juta ahli.

“Tak betul, tak betul (andaian meluat)... kita adalah parti yang terbesar mewakili orang Melayu, mempunyai 3.1 juta ahli,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Tertinggi (MT) Umno petang ini.

Dengan menghalakan jari menandakan “1 Malaysia”, Najib (gambar) berkata, “saya tidak terima anggapan itu (meluat).”

Sehubungan itu Perdana Menteri dan Pengerusi BN meminta jangan membuat andaian yang “bukan-bukan”.

Najib memberitahu, selepas proses pemutihan yang dijalankan awal tahun ini Umno kini mempunyai 3,186,850 orang.

Umno telah mengeluarkan hampir 600,000 ahli daripada daftar keahliannya.

Ditanya kedudukan Umno Kelana Jaya, Najib berkata, mesyuarat hari ini tidak membincangkan soal kepimpinan bahagian itu.

“Kami tidak bincang,” kata beliau sambil menambah, oleh kerana Ketuanya Tan Sri Muhammad Muhd Taib telah menurunkan mandat kepada timbalannya Datuk Yahaya Bujang, maka beliau akan memangku jawatan ketua bahagian itu.

“Beliau sudah turunkan kuasa, maka beliau (Yahya) boleh memangku,” katanya.

Semalam, Yahaya mengesahkan Muhammad telah memberikan mandat sepenuhnya kepada beliau untuk menjalankan tugas-tugas sebagai ketua bahagian itu bermula April 2009.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya semua pihak menghentikan desakan terhadap Muhammad, yang juga bekas menteri besar Selangor supaya melepaskan jawatan sebagai ketua bahagian tersebut.

“Sebenarnya Tan Sri Muhammad telah memberikan mandat sepenuhnya kepada saya selaku Timbalan Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya untuk menjalankan tugas-tugas Ketua Umno bahagian bermula dari April 2009.”

Najib juga berkata, mesyuarat MT juga tidak membincangkan isu berkaitan ketidakhadiran empat Ahli Dewan Undangan Negeri pada persidangan perwakilan bahagian itu yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami ambil maklum (isu Setiu),” katanya. -TMI

Isnin, 19 Julai 2010

Pakat masuk PAS, bukan bersatu dengan Umno

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantaraan antara Pas dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.

PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini, Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh.

Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai parti yang busuk sampai usus.

Sepatutya Tan Sri kena nasihat supaya ahli Umno keluar beramai-ramai masuk PAS.

Apakah logik PAS diseru untuk bersatu dengan Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

Apa perlu PAS diajak bersama dengan umno semata-mata kerana hendak menghulurkan balang oksigen kepada umno yang semakin kehilangan sokongan terutama Melayu terpelajar dan Melayu yang celik maklumat.

PAS memahami tahap sokongan orang-orang Melayu sudah berubah, maka umno berdendang dengan irama lama iaitu kuasa melayu terancam. Apabila sudah nyawa di hujung halqum, baru Umno sedar PAS, parti melayu. Sebelumnya umno tidak pernah memandang Pas, malah angkuh dengan kuasa untuk menindas sesama bangsa.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani sebagai seorang mufti, di antara disiplin mufti kena rujuk quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit barulah boleh keluarkan fatwa.

Barulah fatwa yang dikeluarkan itu dihormati oleh orang ramai. Begitu juga dalam hal politik, sebelum beliau hendak mengeluarkan pandangan biarlah buat kajian dahulu, apakah benar kalau PAS dan Umno tidak bersatu kuasa politik melayu terancam.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani tolong lihat dulu keputusan pilihanraya 2008, siapa yang khianat kuasa politik melayu? PAS atau Umno. Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa sebab semua kerusi melayu, Pas akan lawan umno, kalau umno kalah, Pas menang, Pas melayu juga. Mana sifir kuasa melayu terancam.

Apakah Tan Seri hanya anggap PAS kuda tungangan DAP dan PKR ketika berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat. Manakah bukti PAS rugi kepada Melayu dan Islam ketika bersama PR. Tapi PAS boleh buktikan banyak tindakan umno bersama rakan-rakan BN merugikan agama dan bangsa.

Tan Seri lupakah yang menutup surau di Sek 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo, lupakah Tan Seri yang halau orang melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong Pasir Gudang Johor adalah dibawah umno.

Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus, AlMarhum Dato Ishak Bahrum diburu macam penjenayah kerana hendak menyampai agama ketika Selangor di bawah umno. Adakah laporan Lim Guan Eng di Pulau Pinang tutup surau sejak memerintah Pulau Pinang

Hakikat yang berlaku umno yang serah kerusi majoriti melayu kepada bukan Melayu. Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo Lo Pas lawan Tan Lian Hoe (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman PAS, Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan PKR lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar PAS lawan Dr S Vasan (MIC).

Malah dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati oleh parti Umno yang menjadi kekasih Tan Seri Harussani.

PAS menyeru kepada ahli Umno yang ikhlas dan sayangkan agama, bangsa dan negara gunakanlah akal yang Allah berikan untuk buat keputusan supaya keluar Umno dan bersama-sama PAS yang sedang bersama membentuk pemetaan politik baru bersama-sama Pakatan Rakyat.

Ingatlah Islam selamat, Melayu selamat, bangsa lain selamat, negara pun selamat. Kalau Melayu selamat belum tentu Islam dan negara akan selamat.



Ahad, 18 Julai 2010

UMNO HANYA MEMERLUKAN PAS KETIKA MEREKA TERSEPIT SAHAJA

Sudah berhari-hari samada akhbar atau pun media elektronik seperti tv dan radio, isu kerjasama PAS dengan UMNO sepatutnya di teruskan kembali di 'lagukan' di atas nama perpaduan Melayu dan Islam sepenuhnya.

Dalam Utusan Malaysia hari ini 12 Julai 2010, di muka hadapan bertajuk “Malaysia mudah amal dasar Islam jika PAS, UMNO bersatu”. Satu tajuk yang baik untuk di baca akan ceritanya.

Sebagai orang Melayu dan beragama Islam di negara ini, secara peribadinya memang menginginkan kerjasama yang baik dan jitu didalam konteks hubungan persaudaraan sesama Islam ini apatah lagi itulah yang kita harapkan selama ini ianya berlaku.

Sejarah cubaan kearah kerjasama antara dua parti ini sudah lama wujud. Bermula sebaik sahaja berlakunya Tragedi 13 Mei 1969 sehingga menjuruskan salam undangan oleh UMNO terhadap PAS yang dimulai pelawaan tersebut oleh Tun Razak terhadap Dato Asri yang ketika itu adalah YDP Agung PAS Pusat.

Kesan daripada tragedi 13 Mei tersebut akhirnya PAS bersetuju menerima pelawaan UMNO bagi membentuk kerjasama yang kuat sehingga tertubuhnya satu kerjasama politik yang baru di bawah pembentukan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1972.

Namun cuaca tidak selalu baik sebagaimana yang diharapkan, langit juga tidak selalunya cerah, mendung hadir secara tiba-tiba, hujan pun turun bersertakan guruh serta kilat sabung menyabung, akhir PAS di tendang keluar oleh UMNO-BN pada tahun 1978.

Ini fakta sebenarnya, tiada sesiapa pun yang berani menafikan bahawa kekuatan yang dimiliki kembali oleh UMNO-BN itulah puncanya mereka berani menendang keluar PAS pada ketika itu!

Persoalan yang di ‘lagu’kan oleh UMNO kini ialah kenapa PAS tidak mahu berkerjasama dengan mereka (UMNO)? Kalau PAS boleh berkerjasama dengan DAP, kenapa tidak dengan UMNO yang terang lagi bersuluh kata mereka yang UMNO ini adalah parti orang Melayu dan sebuah parti ‘Islam’ juga?

Kita ungkapkan kembali sejarah kekuatan UMNO selepas setiap pilihanraya dan bila pula waktunya hasrat UMNO mahu ‘berganding bahu’ dan berkerjasama dengan PAS akan muncul?

Secara ringkasnya ia bermula selepas UMNO-Perikatan kehilangan majoriti di Dewan rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 dan terjadi pulak Tragedi 13 Mei tersebut, maka bermulalah kali pertama ‘drama perpaduan’ demi Melayu dan Islam di dendangkan.

Tapi mengenangkan keihlasan, keluhuran dan kejujuran Tun Razak pada ketika itu yang kelihatan bersungguh untuk menguatkan perpaduan orang Melayu dan Islam, maka PAS tidak teragak-agak untuk menerima pelawaan tersebut pada waktu itu.

Tapi selepas beberapa tahun di lihat UMNO-BN mula kuat kembali, tanpa di sangka-sangka pada tahun 1978 PAS ditendang daripada komponen BN. Kerana apa? Kerana orang UMNO melihat bahawa mereka kini sudah semakin kuat dan mantap.

Sejarah selepas keputusan PRU 1978, 1982, 1986, 1990 dan 1995 langsung isu kerjasama dan perpaduan Melayu dan Islam antara PAS dengan UMNO tidak kedengaran malahan UMNO pula kelihatan semakin angkuh dan sombong apabila PAS pula cuba 'menyuarakan' pula kerjasama atas nama kepentingan Islam!

Selepas mengalami kemerosotan yang teruk pada PRU 1999 disebabkan kegawatan politik didalam UMNO sendiri akibat pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO, isu perpaduan dan kerjasama UMNO-PAS ini mula kedengaran kembali pada awal tahun 2001 sehinggakan beberapa kali pertemuan pimpinan tertinggi UMNO-PAS bertemu untuk membincangkannya.

Tetapi ianya lenyap sama sekali apabila UMNO-BN yang diketuai oleh PM baru ketika iaitu DS Abdullah Badawi menang besar didalam sejarah PRU pada tahun 2004. Apakah PAS dipandang mereka pada ketika itu? Ohh...tidak sama sekali sebab mereka ahli-ahli UMNO berpendapat UMNO-BN sudah kuat kembali!

Ibarat kata pepatah; seperti roda kadang-kadang diatas, kadang-kadang dibawah. Begitu jugalah UMNO-BN apabila mengalami kekalahan paling dahsyat mereka didalam sejarah PRU Malaysia apabila kehilangan lima negeri dan ketiadaan majoriti 2/3 sebagaimana sebelum ini di PRU 12, Mac 2008!

Sekali lagi isu perpaduan Melayu dan Islam antara UMNO-PAS di bunyikan tetapi kali ini didendangkan di atas tajuk ‘Unity Government’ (Kerajaan Perpaduan) pula? Hasratnya satu kali ini iaitu agar UMNO-BN berjaya didalam agenda Kerajaan Perpaduan kali ini dan seterusnya berjaya menggagalkan perpaduan yang utuh yang sedang tercipta kini iaitu Pakatan Rakyat (Kerjasama KEADILAN-PAS-DAP).

Kini isu tersebut telah pun lenyap apabila TG Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS mahu agar apa yang disebut Kerajaan Perpaduan antara PAS-UMNO dihentikan serta merta atas berbagai alasan yang kukuh atas pengalaman TG Nik Aziz sendiri yang mengalaminya pda tahun 1978 dahulu.

Percayalah UMNO ini hanya mencari PAS dan memerlukan PAS hanya ketika mereka susah sahaja. Apabila sudah kuat kembali UMNO pasti akan mengulangi lagi sebagaimana yang berlaku pada tahun 1978 dahulu iaitu melupakan PAS, ibarat menolong anjing yang tersepit, akhirnya melawan balik pada yang menolongnya....Itu kenyataan! sumber

Sabtu, 17 Julai 2010

Tengku Razaleigh - Najib tak layak pegang jawatan

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Masalah pengurusan kewangan membabitkan kerajaan dan beberapa agensi utama sejak kebelakangan ini berpunca daripada kelemahan elemen "check-and-balance" dan perdana menteri tidak wajar turut menyandang portfolio kewangan, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan berkata, perdana menteri sewajarnya memfokus tanggungjawab sebagai ketua barisan Kabinet, tanpa memegang portfolio lain dalam jemaah menteri demi memastikan keseimbangan fokus.

Beliau khuatir kedudukan semasa di mana perdana menteri turut mengetuai Perbendaharaan, yang diamalkan sejak lebih sedekad lalu, boleh membuka laluan kepada elemen lemahnya elemen sekatan dan imbangan dalam pengurusan dana awam.

Menjawab soalan yang dirujuk kepada kontroversi yang timbul berkaitan dengan Felda baru-baru ini, Razaleigh berkata, ia sepatutnya boleh dielakkan jika agens-agensi kerajaan seperti Felda diletakkan di bawah penyeliaan rapi Kementerian Kewangan.

"Pada masa-masa lalu, Kementerian Kewangan mengamalkan prosedur ketat dalam soal pelaburan. Keputusan pelaburan dilakukan oleh kami (Kementerian Kewangan)... tetapi kini dilakukan oleh agensi masing-masing," katanya.

Amalan seorang perdana menteri turut memegang portfolio menjadi tradisi sejak selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 dan diwujudkan dua kerusi menteri kewangan.

Di bawah pendekatan ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Razak turut memegang portfolio Kementerian Kewangan.

Jelas Razaleigh, Felda yang sepatutnya berada di bawah penyeliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, tetapi diketuai oleh Perdana Menteri.

"Perdana Menteri memutuskan apa yang perlu dilakukan di Felda," kata beliau dalam temu bual dengan The Malaysian Insider.

Kelmarin, Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) mahu Parlimen menyiasat penyalahgunaan dana oleh Felda yang dikaitkan dengan kemerosotan rezab tunai lembaga itu.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, Anak juga akan bertemu dengan Razaleigh supaya mengetuai perkara ini di Parlimen.

"Kita akan menemui Tengku Razaleigh dan memintanya untuk memimpin perkara berkaitan Felda di Parlimen kerana berliau adalah seorang ahli politik veteran dalam Kabinet dan juga terlibat dalam pembangunan Felda," kata Mazlan.

Pada 16 Jun lalu, kerajaan pusat secara terbuka mengakui simpanan tunai Felda telah merosot sehingga RM1.35 bilion tahun lalu berbanding paras RM4.08 bilion dimiliki pada 2004.

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa penurunan simpanan tunai bukan kerana salah urus Felda.

Kini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan meneliti pihak pengurusan Sime Darby dan Pos Malaysia Berhad bagi memberi penjelasan berhubung kerugian kedua-dua syarikat itu.

Sime Darby dilaporkan mengalami kerugian lebih RM964 juta akibat daripada lebihan kos dalam projek kendaliannya, dan berikutan itu, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, yang kontraknya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan sepatutnya berakhir pada 26 Nov ini, telah diminta bercuti.

Pos Malaysia pula dilaporkan mengalami kerugian RM227 juta sejak beberapa tahun lalu.

PAC tidak menolak kemungkinan akan memanggil pengurusan Khazanah Nasional Berhad berdasarkan penglibatannya dengan Pos Malaysia.

Bagaimanapun minggu ini, Najib yang juga Menteri Kewangan mempertahankan Sime Darby dan Pos Malaysia berhadapan dengan masalah kewangan.

Mengulas pendiriannya, Razaleigh berpandangan bahawa perdana menteri tidak seharusnya memegang sebarang jawatan selain sebagai ketua Kabinet.

"... ini bukan amalan yang baik, perlu ada unsur sekatan dan imbangan," kata Razaleigh.

Razaleigh juga berpendapat banyak agensi kerajaan seperti Felda dan syarikat-syarikat lain seperti Sime Darby kini berhadapan dengan krisis kewangan sebab tidak berada di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan.

Pengasas Petronas ini berkata, pentadbiran Najib seharusnya mengkaji semula amalan ini bagi membolehkan Kementerian Kewangan mempunyai tanggungjawab penuh ke atas penggunaan dana kerajaan.

"Ketika masa saya (sebagai Menteri Kewangan), saya mengawal (penggunaan) wang, kesemua kontrak.

"Ketika itu, kesemua ketua (jabatan dan agensi awam) memberi saya taklimat apa yang mereka hendak lakukan dengan wang di pelbagai kementerian," kata Razaleigh sambil menambah walaupun ia kelihatan birokrasi tetapi penyeliaan dapat dilakukan dengan baik.

Menurut pemimpin politk veteran ini, ketika era kepimpinan Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir, Kementerian Kewangan mempunyai kawalan ke atas perbelanjaan kesemua kementerian.

Jelas beliau, jika sesebuah kementerian hendak melantik kontraktor bagi sesuatu projek, mereka perlu berunding dengan Kementerian Kewangan dan kementerian akan memastikan sistem tender terbuka diamalkan sebelum projek diluluskan.

"Dan, apa sahaja diputuskan oleh Kementerian Kewangan perlu melalui Parlimen... sudah pasti dulu lebih terbuka kerana menteri kena melaporkan kepada Parlimen, kepada Kabinet," katanya lagi.

Bagaimanapun menurut beliau, kini setiap kementerian boleh membelanjakan apa yang mereka mahukan.

"Tiada mekanisme yang betul untuk memastikan sekatan dan imbangan," katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang ini ketika beliau menjadi menteri kewangan negara tidak berhadapan dengan masalah hutang.

"Sekurang-kurangnya anda tahu bahawa kita tidak membazirkan wang rakyat," kata beliau lagi.

Khamis, 15 Julai 2010

PAS & UMNO yang saling sesat – menyesat : apa beza?


UMNO kata PAS sesat dan PAS kata UMNO sesat. Kerana saling sesat – menyesatkan maka mereka saling bercakaran walaupun sebab utama percakaran bukanlah kerana tindakan saling lempar – melempar itu, tetapi kerana dasar perjuangan mereka yang berbeza. Maksudnya, jika tak saling menuduh, tak sesat – menyesatkan pun mereka akan tetap bercakaran juga kerana percanggahan ideologi itu.
Dari dulu lagi PAS kata UMNO sesat dan dari dulu yang sama tempohnya juga UMNO kata PAS sesat. Tak tahulah bila nak berhenti. Memang bila dah sesat, memang susah nak sampai ke penghujung, apatah bila dah saling sesat – menyesatkan, lagi – lagilah susah nak ketemu hujung habisnya. Hari ini saya tak kisah pun jika mendengar orang PAS kata UMNO sesat dan begitulah jika saya dengar UMNO kata PAS sesat juga. Sebabnya, dah kalih, dah lama sangat dengar cerita saling sesat – menyesatkan ini.
Sesat maknanya salah, menyeleweng dan tak betulnya dasar atau matlamat atau cara atau tindakan seseorang itu. Maka orang yang menyesatkan itu mestilah menerangkan maksudnya itu agar difahami. Tak masuk Islam adalah sesat, tak solat pun sesat dan solat tak ikut tertib rukun pun sesat, tetapi ia adalah sesat yang berbeza. Yang pertama sesat kufur, yang kedua sesat jenis fasiq dan yang ketiga pula sesat kerana tak ikut cara nabi, maka tak sah solatnya. Solatnya jadi sesat juga. Maksudnya, sipenuduh sesat itu kenalah menerangkan maksudnya itu agar difahami dan tak jadi sesat pula orang kerana tersalah faham maksudnya itu.
Maksudnya, si penyesat atau si penuduh itu perlulah bertanggung jawab. Mesti, kerana jika tidak, sesatnya itu akan kembali pula kepadanya kerana dia telah menyebabkan orang jadi sesat kerana tersalah faham maksudnya itu, selain kemungkinan dia sesat kerana tuduhan menyesatkan yang sememangnya tidak betul.
Macam fatwa Wilayah Persekutuan yang menyesatkan ESQ. Jika betul, bagus sangatlah fatwa itu. Selamatlah ramai orang daripada jerat ESQ yang tersohor sangat namanya itu saat ini sehingga telah ada kumpulan alumni dan generasi ESQ pula katanya. Tetapi, jika fatwa itu menambahkan kekeliruan dan kekeliruan itu gagal dijelaskan sebaik – baiknya oleh pihak berkenaan yang mahu mengekalkan fatwanya itu, maka fatwa itu pula jadi sesat. Menyesatkan yang tak sesat adalah sesat.

Apabila UMNO menuduh PAS sebagai sesat, maka ia adalah tuduhan yang berat. Ia mungkin bermaksud PAS menganut ajaran ugama Islam yang menyeleweng dasar, matlamat dan kefahamannya. Ia juga mungkin bermaksud sesat kerana tindakannya yang dilihat tidak islamik dan tidak ikut sunnah. Macam PAS berkerja sama dengan DAP dan menolak UMNO, bagi sesetengah pihak agak keterlaluan dan jauh daripada hujah ugama dan sunnah nabi. Kedua – dua kemungkinan maksud tadi telah meletakkan tuduhan tersebut begitu berbahaya kerana ia adalah hukuman agama yang besar ke atas ahli PAS dan penyokongnya.
Malangnya, tuduhan UMNO selalunya tidak diiringi dengan penjelasan yang nyata, apatah ia jauh daripada ruang untuk didebatkan atau dimuzakarahkan secara terbuka dan berani. Hanya tuduhan meliar yang entah ke mana hinggapnya.
Juga, apabila PAS menuduh UMNO pula sesat, maka ia pun satu tuduhan yang berat juga, sama berat dengan tuduhan oleh UMNO tadi. Ia mempunyai kemungkinan maksud yang sama juga yang begitu berbahaya kerana ia adalah hukuman agama yang keras sekali.
Tetapi, anda dengan jelas menyaksikan kelainan yang begitu membezakan PAS daipada UMNO.
Jika UMNO tidak bertanggung jawab di atas tuduhannya itu dengan mengelak penjelasan atau muzakarah atau debat untuk menilai kebenaran tuduhan mereka, PAS pula adalah sebaliknya. Setelah menuduh UMNO sebagai sesat, palsu, batil, salah, menyeleweng, fasiq, zalim dan sebagainya, PAS tampil untuk menjelaskan dan bersedia bersemuka dengan apa cara sekalipun asalkan tuduhannya itu diikuti pula dengan penjelasan yang difahami sebaiknya oleh orang yang memerlukan kefahaman dan kejelasan.
Tuan Guru Dato Hj Nik Abdul Aziz biasa saja melontarkan peluru yang panas – panas ke atas UMNO dan semua tahu bahawa ia bertujuan menimbulkan polemik dan kepanasan yang akan memaksa semua untuk memohon penjelasan beliau. Adakah anda melihat beliau senyap, bersembunyi dan enggan menjawab dan mengulas lagi? Tidakkan?
Sebelah UMNO pula, macam contoh terdekat, Dato’ Shafei Afdal yang menuduh PAS sebagai sesat, ke mana beliau apabila rakyat meminta penjelasan? Muka depan HARAKAH segera menuntut penjelasan, hujah dan bukti daripadanya dan UMNO juga, tetapi tiada apa – apa selain kesepian dan senyap.
Dan perkara yang sama berlaku apabila tuduhan – tuduhan terhadap PAS oleh pemimpin UMNO dilontarkan, ia tidak lebih selain tuduhan tanpa tanggung jawab dan penjelasan yang menenangkan.
Dari sudut ini, anda tahu bahawa UMNO ketika menuduh PAS sesat, ia gagal membuktikan bahawa tuduhan itu adalah betul, bahkan ia kekal sebagai tuduhan yang bersifat fitnah dan jahat.
Oleh kerana saya begitu faham dengan tuduhan PAS terhadap UMNO sejak dulu, sejak kecil saya lagi sehingga sudah menjadi kalih dengan isu sesat – menyesat ini bahawa UMNO adalah parti sesat, maka saya begitu mudah untuk menjelaskan maksud ‘tuduhan’ PAS tersebut. Saya perturunkan di sini agar anda dapat melihat isi penting pertuduhan yang ingin sangat PAS perjelaskan kepada rakyat, samada ahli PAS atau ahli UMNO agar semua rakyat memahami kedudukan pertelagahan UMNO – PAS. Kemudian saya akan jelaskan pula mengapa PAS konsisten pula memerangi UMNO.
Pertama, UMNO sesat dari sudut dasar. PAS konsisten berhujah bahawa dasar kebangsaan atau nasionalisme adalah sesat, salah dan terseleweng daripada ugama. Oleh kerana UMNO secara jelas menjadikan kebangsaan sebagai dasarnya, maka UMNO sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia. Bagi PAS, dasar parti hendaklah Islam. Islam tulen sebagaimana di bawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Tuduhan ini berat. Kerana berat, maka PAS mengambil tanggung jawab penuh untuk menjelaskan, memuzakarahkan, mendebatkan dan mensyarahkannya bila – bila masa demi mengabsahkan tuduhannya itu.
Kedua, UMNO sesat dari sudut matlamat. PAS konsisten berhujah bahawa membina negara demokrasi sekular yang menjadi matlamat UMNO adalah sesat, salah dan menyeleweng daripada ugama. Maka UMNO sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia. Bagi PAS, matlamat hendaklah Islam juga dan matlamat Islam adalah menegakkan khilafah dengan membina sebuah negara Islam. Islam yang tulen sebagaimana di bawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Tuduhan ini berat. Kerana berat, maka PAS mengambil tanggung jawab penuh untuk menjelaskan, memuzakarahkan, mendebatkan dan mensyarahkannya bila – bila masa demi mengabsahkan tuduhannya itu.
Ketiga, UMNO sesat dari sudut wasilah dan cara membangunkan negara. Menghalalkan riba, arak, judi, pergaulan bebas dan mengharamkan hukum hudud misalnya adalah gambaran cara dan wasilah UMNO menyusun, membentuk dan menyelesaikan masalah negara yang jelas keluar daripada pengajaran ugama dan sunnah nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Ini tidak termasuk kezaliman dan rasuah yang berleluasa yang tidak diizinkan ugama.
Kesemuanya berat – berat belaka. Ia jika betul, maka UMNO betul – betul sesat dan mesti ditentang dan diperbetulkan. Jika terbukti salah dan hanya tuduhan tanpa asas, PAS pulalah yang sesat barat kerana menyesatkan yang tak sesat.
Justeru anda tahu bahawa kesediaan PAS memuzakarahkannya adalah bukti pertanggung jawaban PAS atau tuduhannya itu. Itu adalah persaksian yang sungguh gagah dan berani. Hujah adalah kemenangan dan mukjizat.
Tuduh – menuduh sesama umat Islam adalah memilukan, memalukan dan merugikan. Jadi, mengapakah PAS yang mendakwa sebagai parti Islam terus membuat tuduhan terhadap UMNO. Mengapa tidak dibiarkan UMNO sahaja yang menuduh dan memfitnah?
Ya, jawabannya adalah kerana amar makruf nahi munkar. Senyap melihat kemungkaran adalah satu dosa yang akibatnya telah diperlihatkan Allah kepada kita atas apa yang berlaku ke atas Bani Israel yang tidak mencegah kemungkaran sesama mereka.
Metodologi dakwah adalh pelbagai. Selain dakwah secara berlembut adalah hikmah, serangan keras RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam terhadap akidah kaum musyrikin dan perbuatan mereka yang menimbulkan kemarahan mereka juga adalah satu hikmah.
Kemarahan akan menyebabkan orang menjadi agresif. Ia juga menyebabkan manusia kembali untuk berfikir dan menilai kesalahan diri. UMNO telah lama agresif terhadap PAS. UMNO juga kadang kala kembali berfikir mengapa PAS konsisten dalam perjuangannya menentang UMNO dan idologinya. Itulah harapan kita untuk UMNO yang bergelumang dalm sesatnya itu.
Tulisan ini bermaksud menjelaskan beza PAS daripada UMNO sesudah mereka saling tuduh – menuduh.

Rabu, 7 Julai 2010

Ini ke Slogan Baru Umno..??



Pening dan mengelabah dengan kelayuan Melayu dari segala segi,terutama ekonomi dan sosial yang semakin parah hasil perjuangan Umno haprak sejak 50 tahun lalu,menjadikan puak Umno semakin tidak keruan apabila melihat orang melayu semakin menjauhi umno umpama seseorang takutkan tokak yang semakin menanah dan membusuk.

Maka slogan "Hidup Melayu" yang selama ini menjadi laungan dan jeritan meroyan ahli Umno akan di ganti dengan slogan "Melayu Cemerlang".Mungkin ini adalah salah satu strategi haprak mereka untuk mengembalikan sokongan melayu yang semakin terhakis terhadap parti reput ini.

Kalau selama ini slogan "Juara Rakyat" dilaungkan,namun rakyat semakin hari semakin dibebani dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan,penarikan subsidi,liberalisma ala penjajah asing,penyelewengan dana rakyat bebilion ringgit,rasuah dan penyerahan aset penting negara kepada negara luar.Aset Melayu iaitu Felda pula disalahgunakan oleh pimpinan umno dengan sesuka hati mereka,sehinggakan berlaku kerugian sejumlah 2.7 billion.

Kesimpulannya...tokak yang menanah tadi tidak akan sembuh kerana ia semakin membusuk dan menyakitkan pengidapnya,hanya ada satu jalan sahaja untuk menghilangkan penyakit tersebut...iaitu memotong kaki agar tidak menjangkiti orang lain.

Selasa, 6 Julai 2010

UMNO Sambung Khidmat APCO, Rakyat Perlu Bangun Tentang UMNO Habis-habisan


Putrajaya sambung khidmat APCO setahun lagi

Pentadbiran Najib memperbaharui kontrak khidmat Worldwide untuk tempoh setahun lagi bulan lalu meskipun pembangkang membantah kehadiran firma tersebut atas alasan mempunyai hubungan dengan Israel, rejim yang dikutuk umat Islam.

Difahamkan APCO mengambil konsultan-konsultan tempatan dalam kontrak terbaru dengan sumber Jabatan Perdana Menteri mengatakan, pakej kali ini tidak selumayan berbanding RM76.8 juta dibayar bagi tempoh 15 Julai 2009 dan 4 Jun 2010 untuk khidmat memperbaiki imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Pentadbiran Najib sudah memperbaharui kontrak dengan APCO Worldwide sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun lagi,” kata satu sumber kerajaan kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan kelulusan pada dasarnya itu diberikan seminggu lalu.

Bagaimanapun keputusan itu dirahsiakan bagi mengelakkan bantahan berhubung kaitan Malaysia dengan firma itu yang didakwa ada kontak dengan ejen-ejen Israel.

Malah satu sumber memberitahu The Malaysian Insider, syarat-syarat kali berlainan berbanding dengan perjanjian sebelum ini.

“Kali ini, perjanjian antara APCO dan Malaysia kini lebih bersifat terbuka. Di bawah perjanjian baru ini, kedua-dua pihak mempunyai opsyen untuk menamatkan perjanjian pada bila-bila masa sebelum kontrak berakhir dalam tempoh setahun ini,” kata sumber itu. The Malaysian Insider juga diberitahu, pegawai-pegawai APCO yang baru telah dilantik untuk menyelia terma dan syarat perjanjian terbaru ini.

“Juga wujud rasa tidak senang di kedua-dua pihak berhubung soal bagaimana (pertikaian) pelantikan APCO boleh tercetus dan ia tidak dapat dikawal ekoran liputan media dan cara isu ini ditangani.

“Kali ini, saya boleh mengatakan lima pegawai APCO yang baru dilantik untuk menyelia (kandungan) perjanjian baru ini, dan untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar,” kata beliau.

Difahamkan, salah seorang pegawai utama merupakan bekas ketua komunikasi luaran pejabat ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat utiliti tempatan.

Pegawai-pegawai APCO yang berpejabat di Singapura enggan mengulas mengenai perjanjian baru antara pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan firma itu ketika dihubungi The Malaysian Insider menerusi emel dan panggilan telefon.

“Menjadi dasar APCO untuk tidak membincangkan kontrak secara terbuka,” kata jurucakap syarikat itu menerusi emel kepada The Malaysian Insider.

Firma itu yang berpejabat di Singapura, kini diketuai oleh bekas pengarah urusan Garry Walsh yang juga ketua akaun global bagi Microsoft, salah satu pelanggan utama APCO.

Isu APCO telah mendominasi sidang Parlimen yang lepas dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan telah mengelirukan Dewan Rakyat.

Sesi itu telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Anwar mendakwa beberapa pegawai tentera Israel utama berkhidmat dengan APCO.

Selain itu Anwar juga mengaitkan konsep 1Malaysia yang digerakkan oleh Najib sebagai idea mirip One Israel yang dibangunkan untuk kepimpinan bekas perdana menteri Israel Ehud Barak.

APCO telah menafikan adanya hubungan dengan One Israel dan menegaskan, inisiatif 1 Malaysia sudah pun diilhamkan sebelum pelantikan firma berkenaan. sumber

Khamis, 1 Julai 2010

Azmin Tidak Ghairah Jadi MB

NAIB Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu bahawa beliau 'budak jahat' yang mahukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.

Tegas Azmin, beliau menyokong penuh Khalid sebagai MB Selangor dan sekarang ini bukan masanya untuk Khalid diarahkan meletakkan jawatan.

"Semasa diretreat (pemukiman) KeADILan, saya duduk di sebelah Tan Sri (Khalid), saya katakan dengan jelas kepada semua yang hadir, ya memang saya ada masalah dengan Tan Sri, tetapi saya tidak sekali-kali mahu merampas jawatan beliau.

"Malah dengan jelas saya tawarkan kepada parti, saya sanggup melepaskan jawatan Adun Bukit Antarabangsa, supaya dengan itu tiada lagi spekulasi bahawa saya mahu merebut jawatan MB," tegasnya.

Begitulah penegasan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, kepada penulis ketika kami sembang-sembang di Parlimen, 29 Jun lepas.

Azmin jelas menunjukkan kekecewaan beliau, terhadap sesetengah pihak sama ada blogger dalam KeADILan dan pucuk kepimpinan tertentu yang sengaja 'mislead' dan memperbesar-besarkan isu jawatan MB.

Menurut Azmin, sebagai Naib Presiden parti, suatu jawatan kanan yang disandang, beliau berhak untuk membuat teguran dan kritikan kepada mana-mana pihak, khususnya pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan negeri.

"Yang saya mahu ialah mereka 'deliver' untuk kepentingan parti dan rakyat, bukan saya mengkritik kerana hendak merebut jawatan.

"Saya tidak gila kuasa, malah saya tegaskan kepada Ketua Umum (Dato' Seri Anwar Ibrahim), saya meletakkan jawatan sebagai Pengarah PKNS atas dasar prinsip, saya tidak gila kuasa, saya tidak gila untuk jadi MB," katanya bersungguh-sungguh.

Merujuk kepada jawatan Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, menurut Azmin, dalam retreat tersebut beliau dengan tegas menolak jawatan itu.

"Tetapi ini arahan Ketua Umum, arahan parti, saya akur walaupun berat hati saya hendak menerimanya," ujar beliau.

Masalah yang timbul di antara Azmin dengan Khalid digembar gemburkan oleh media, sebagai menunjukkan keretakan dalaman KeADILan yang serius.

Mahupun Azmin ataupun Khalid, tidak menafikan wujudnya perbezaan dalam isu-isu tertentu, tetapi ia hanya membabitkan perbezaan pendekatan, bagaimana yang terbaik untuk memperkukuhkan imej Pakatan Rakyat di mata rakyat.

Keputusan yang dibuat oleh Anwar dengan mengkhususkan tugasan Khalid sebagai MB Selangor, Azmin sebagai pengerusi negeri dan pengerusi Wilayah Persekutuan yang disandang Azmin kepada Dato' Zaid Ibrahim sebagai suatu penyelesaian yang terbaik.

Penganalisis berpendapat isu terbabit dapat diselesaikan dengan lunak dan masing-masing yang didakwa bertelagah, mempunyai tugas dan peranan khusus dan seharusnya lebih fokus.

Dakwaan pertelagahan dalaman KeADILan ini menarik minat bekas MB Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo untuk memberi komen, kononnya ia bukanlah suatu penyelesaian kerana dakwanya, KeADILan ada tiga nakhoda di negeri tersebut.

Khir mendakwa perjalanan parti dan kerajaan tidak dapat berjalan dengan baik kerana wujud individu yang berbeza atas jawatan utama di negeri.

"Buat apa kita hendak ikut Umno, memang kerja depa (mereka) kuasai pengerusi negeri dan kerajaan negeri. Ini pemusatan kuasa yang akan melahirkan diktator sahaja," tegas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Mohd Yusof.

Tegasnya, dalam KeADILan tidak akan wujud diktator kerana mereka menjalankan pentadbiran secara pemuafakatan.

"Khir Toyo tidak payah pertikai Pakatan Rakyat, dia di Selangor pun banyak masalah dalaman Umno yang kelam-kelibut," ujarnya.

Isu ini juga menarik perhatian Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

"Apa masalahnya wujud perbezaan jawatan MB dengan pengerusi negeri? Dalam PAS pun semasa kita perintah Perak, MB Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, manakala Pengerusi Perhubungan PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang.

"Buat apa kita hendak mengikut cara Umno-BN?" ujarnya. Dengan tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu mempertegaskan sokongan PAS untuk terus memperkukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Apa pun keadaan yang berlaku, nampaknya Umno-Barisan Nasional tidak akan henti-henti membuat serangan untuk menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat, khususnya parti KeADILan.

KeADILan, khususnya yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor, seharusnya berusaha mengelakkan isu-isu sebegini timbul kerana ianya amat merimaskan rakyat yang menyokong kita.

Abdul Khalid harus lebih fokus dan mesti melaksanakan keputusan yang diarahkan parti, supaya kerajaan negeri ditadbir mengikut acuan Pakatan Rakyat.

Azmin harus lebih berhati-hati, supaya selepas ini sebarang tindakan dan kenyataan beliau, tidak dilihat sebagai suatu penentangan ke atas kepimpinan Khalid.

Dan, terutama sekali Anwar harus melihat isu-isu yang berlaku sebegini, boleh menggugat persepsi rakyat terhadap kepimpinannya, yang mungkin menjejaskan peluang Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan.

Yang lebih penting, Anwar dan KeADILan sendiri, harus lebih sedar, bahawa banyak lagi 'peluru berpandu' akan dilepaskan Umno-BN menjelang PRU ke-13 nanti.

Kita seharus lebih berhati-hati, supaya hasrat kita untuk memerintah negara selepas PRU ke-13, menjadi realiti bukannya 'mimpi yang tak sudah'.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Hud ayat 15-16

15]
Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.
[16]
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.


- Pemimpin Yang Menipu Rakyat


Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).

blogger sempoi