KUALA
LUMPUR, 8 JUN: Ahli akademik Dr Ariffin Omar dan aktivis kesatuan
sekerja Syed Shahir Syed Mohamud hari ini mengangkat sumpah sebagai
senator mewakili negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, negeri pulau mutiara
amat bangga atas perlantikan kedua-dua senator tersebut sebagai ahli
Dewan Negara.
“Dua wakil senator ini mempunyai latar belakang yang cemerlang. Kita
berharap Dr. Ariffin dan Syed Shahir dapat menjalankan amanah mereka
untuk menuntut prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, demokrasi dan
layanan saksama,” kata beliau kepada pemberita selepas upacara
mengangkat sumpah itu di sini.
Beliau juga berharap agar dua senator dari Pulau Pinang itu dapat menjalankan tugas mereka dengan cemerlang.
Dr. Ariffin Omar merupakan salah seorang pensyarah kanan di
Universiti Pertahanan Malaysia dan pakar dalam Sejarah Asia Tenggara dan
Sains Politik. Beliau yang juga pengasas dan bekas pemimpin Aliran.
Beliau yang juga ahli DAP banyak menyumbang dalam penerbitan
buku-buku berkaitan bangsa Melayu, budaya orang Islam dan kini sedang
menulis mengenai hubungan antara kaum serta kebebasan beragama di
Malaysia.
Sementara itu, Dr. Ariffin menjelaskan dakwaan kononnya beliau
‘dipergunakan’ oleh DAP sebagai kenyataan yang tidak masuk akal sama
sekali.
“Kita perlu terbuka. Saya rasa hairan kenapa apabila orang Melayu
menyertai DAP, dia dikatakan alat. DAP adalah parti politik pelbagai
kaum yang berjuang atas dasar demokrasi dan hak asasi.
Menyifatkan parti-parti berasaskan kaum sudah ‘luput’, beliau
berkata, tiada salahnya untuk memilih mana-mana parti, terutamanya yang
bersifat pelbagai kaum dan terbuka.
“Kita akan ketengahkan usul pendidikan, hak dan kebajikan semua kaum
yang terpinggir termasuk soal pembangunan masyarakat termasuk orang
Melayu,” ujar beliau lagi.
Syed Shahir pula merupakan bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja
Malaysia (MTUC) yang banyak memperjuangkan hak golongan pekerja di
Malaysia. Dalam bidang politik, beliau merupakan bekas ahli Majlis
Pimpinan Pusat Parti Keadilan dan pernah bertanding sebagai calon PKR
pada tahun 2008.
Bagi Syed Shahir, perlantikan beliau sebagai senator adalah penting
untuk pekerja kerana sejak lebih enam tahun Dewan Negara tidak diwakili
golongan tersebut.
Beliau menyifatkan perlantikannya sebagai senator oleh Kerajaan
Negeri Pulau Pinang sebagai memberi nafas baru kepada golongan pekerja
di Malaysia.
Selain Dr Ariffin dan Syed Shahir, tiga orang Senator lain turut
mengangkat sumpah pagi ini adalah Roslin Abdul Rahman, Datuk Lim Nget
Yoon dan Toh Puan Zaitun Mat Amin. – Roketkini.com