Sabtu, 12 Februari 2011

Persamaan Emelda, Farah Diba, Elena, Laila dan Rosmah


Presiden Tunisia, Zine el-Abidin Ali tersungkur oleh revolusi rakyat. Bersamanya ialah wanita pertama Tunisia, Laila Trabelsi yang melarikan diri keluar negeri. Gaya hidup Laila yang gila-gila mewahnya, sedangkan rakyat umumnya dalam kancah kemiskinan adalah antara faktor tumbangnya seorang presiden.
Hari ini apabila isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor tiba-tiba menjadi buah mulut di kalangan rakyat Malaysia kerana berperanan ‘lebih sudu dari garpu’ dalam kepimpinan kerajaan 1Malaysia, ia mengingatkan kita kepada rentetan kisah wanita pertama yang menyumbang kepada kejatuhan suami mereka dan kerajaan yang didokongnya.


ZAMSHA telah menghuraikan watak Laila dalam Harakah keluaran lalu. Saya ingin menyambung dengan beberapa wanita pertama lagi. Antaranya Emelda Marcos atau nama sebenarnya Imelda Remedios Visitacion Trinidad Romualdez menjadi wanita pertama Filipina mulai 30 Disember 1965 sehingga 25 Februari 1986.
Isteri kepada Presiden Ferdinand Marcos itu terkenal sebagai seorang yang suka mencampuri urusan negara sewaktu suaminya menjadi Presiden. Bayangkan sewaktu menjadi isteri Presiden, Emelda juga adalah seorang ahli Parlimen bagi kawasan IV-A Filipina (12 Jun 1978 hingga 25 Februari 1986), Ambassador Plenipotentiary and Extraordinary (1978–1986) dan Menteri Pembinaan Insan (1978-1986).
Sebagai wanita pertama dia sudah memiliki segalanya, termasuk seorang Presiden di dalam genggamannya. Apa lagi yang diperlukannya dengan memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan?
Bersama suaminya Marcos, Emelda sangat mewah berbelanja menggunakan wang kerajaan. Misalnya membeli-belah di New York, Rome dan Copenhagen pada 1983 dengan RM5 juta dollar. Membeli hartanah di Manhattan, antaranya Crown Building 51 juta dollar dan Herald Centre bernilai 60 juta dollar. Nafsunya untuk membeli koleksi barangan mewah tidak dapat ditahan, dia akan berbelanja besar setiap kali ke luar negeri. Setiap kritikan rakyat terhadap tingkahlakunya dijawab dengan selamba bahawa, itu adalah tugasnya untuk memberi cabaran positif atau memotivasi golongan miskin. Iyalah, mungkin golongan miskin akan lebih teruja berusaha menjadi kaya dengan melihat kemewahannya.
Selepas kejatuhannya, Emelda menjadi popular dengan pendedahan koleksi kasut mewahnya sebanyak 2,700 pasang tersimpan rapi di istana tinggalannya.
Seorang lagi wanita pertama yang suka menyibuk mencampuri urusan kerajaan pimpinan suaminya ialah Elena Ceausescu, isteri dictator Rumania Nikolai Ceausescu. Sewaktu suaminya sedang menakah karier politik, dia juga tidak ketinggalan membina karier politiknya sendiri. Bermula 1972, dia memegang pelbagai jawatan penting dalam Parti Komunis Romania. Pada Jun 1973 Elena muncul sebagai orang kedua terpenting dalam hairaki parti selepas suaminya, menjadi penasihat utama partinya dalam isu-isu antarabangsa.
Pada tahun 1980, Elena menjadi Timbalan Perdana Menteri Pertama, sewaktu saminya menjadi Presiden Romania. Gandingan Nikolai dan Elena menjadi sangat berkuasa, melakukan pelbagai penindasan terhadap rakyat. Senarionya sama dalam pemerintahan mana-mana diktator, di mana presiden dan kroni adalah kaya raya sewaktu rakyat dihimpit kemiskinan.
Revolusi rakyat Romania 1989 berjaya menjatuhkan rejim Nikolai Ceauşescu. Elena dan suaminya ditangkap di Targoviste, dibicarakan lalu dijatuhi hukuman mati. Dia dan suaminya sehidup semati, terbukur kaku bersebelahan di sisi bangunan selepas ditembak. Elena semasa hayatnya mungkin tidak seghairah Emelda dalam membelanjakan harta rakyat untuk barangan mewah, tetapi dia sibuk mencampuri urusan pentadbiran suaminya.
Farah Diva Pahlavi adalah permaisuri kepada raja Iran, Shah Mohd Reza Pahlavi. Seperti juga wanita utama bagi mana-mana diktator, Farah Diva muncul sebagai watak pemboros menghabiskan duit negara. Majlis penabalannya sebagai Permaisuri era Iran moden tahun 1967 menelan belanja 10 juta dollar, angka yang cukup besar pada masa itu.
Farah Diba seorang yang sangat meminati seni budaya, menghabiskan duit yang banyak untuk menganjurkan pelbagai program kegemarannya itu. Dia mempunyai pekerja yang ramai untuk menjayakan apa-apa program yang selaras dengan kehendaknya. Kehidupan diraja mereka sangat mewah, sedangkan rakyat bawahan tidak terbela. Mana-mana rakyat yang bangkit menentang kerajaan akan menerima padah seksaan dari perisik Savak.
Revolusi Islam pimpinan Ayatullah Khomeini 1979 berjaya mengusir Shah, Farah serta seluruh keluarga diraja mereka. Mereka pernah hidup mewah di istana tetapi menjadi pelarian di beberapa buah negara.
Laila, Emelda, Elena atau Farah Diba adalah antara nama-nama besar di sisi suami mereka yang dianggap diktator. Sifat utama mereka ialah boros dan sibuk mencampuri urusan suami selaku ketua kerajaan.
Menarik juga untuk kita persoalkan apakah sifat-sifat tersebut ada pada ‘wanita pertama Malaysia’ Rosmah Mansor? Hingga setakat ini dialah pemegang watak Perdana Menteri apabila menggantikan Perdana Menteri sewaktu sakitnya, Menteri Luar apabila mengetuai delegasi negara ke beberapa buah negara luar, Menteri Hal Ehwal Wanita dengan projek Permatanya dan Menteri Pertahanan apabila merasmikan program PLKN. Adakah Rosmah seorang pemboros membelanjakan wang negara? Entahlah, rakyat lebih tahu.
Cuma bezanya setakat ini suaminya Najib belum menyerlahkan watak diktator tulen. Selagi adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri yang mengurung manusia tanpa bicara, selagi tiada kebebasan media sepenuhnya, selagi jentera kerajaan disalahgunakan sepenuhnya untuk kepentingan politik BN; bermakna sifat diktatornya tetap ada, namun mungkin ia belum setaraf para diktator dunia.
Soalnya, apakah rakyat harus menunggu sampai Perdana Menteri Malaysia menjadi diktator tulen baru rakyat berkira-kira untuk menyahkan Najib dan Rosmah dari persada kuasa? Masa itu sudah terlambat. Jadi jangan sampai negara huru hara macam di Tunisia dan Mesir baru nak bertindak. Bertindaklah segera melalui proses demokrasi yang aman.


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Hud ayat 15-16

15]
Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.
[16]
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.


- Pemimpin Yang Menipu Rakyat


Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).