Menteri Kabinet, Datuk Seri Idris Jala (gambar), 27 Mei lalu berkata, negara akan bankrap pada 2019 jika subsidi yang diberikan sekarang tidak dihentikan. Apa yang disebut itu tidak berbeza dengan apa yang diperkatakan Profesor Dr Danny Quah dari London School of Economics sebelum itu: Malaysia akan jadi Greece jika ia tidak berbuat perubahan.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoal amaran itu kerana ia tidak memberi perhatian kepada rasuah, ketirisan dan pembaziran yang sebenarnya menelan banyak dana awam. Beliau turut menarik perhatian bahawa ramalan itu terjadi setahun sebelum 2020; sasaran untuk mencapai wawasan negara maju yang diimpikan oleh pentadbiran Mahathir.
Saya tertarik dengan reaksi Charles Santiago, Ahli Parlimen DAP dari Klang, Isnin lalu, yang meminta kerajaan membubarkan Parlimen supaya rakyat dapat memilih kerajaan baru yang lebih cekap mengurus ekonomi. Beliau menyebut tinjauan kerajaan sendiri yang mendapati bahawa 66 peratus tidak setuju subsidi dihentikan serta merta. Ahli parlimen itu menyatakan pemotongan subsidi harus dilakukan setelah langkah-langkah lain seperti sistem kerajaan yang lebih telus, pengurangan saiz perkhidmatan awam dan pemotongan perbelanjaan kurang perlu lainnya. Sementara itu dalam tempoh beberapa jam selepas Idris membuat kenyataan itu hampir 97 peratus rakyat yang memberi komen kritikal kepada kerajaan. Santiago turut menyebut kerugian yang ditanggung syarikat milik kerajaan, Sime Darby.
Apa yang berlaku itu meletakkan pentadbiran sekarang muram. Tidak cukup dengan itu hujung minggu kumpulan pemikir yang dibentuk Perkasa menyelar Model Ekonomi Baru yang diketengahkan oleh pentadbiran yang sekarang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Berbalik kepada kenyataan Idris tadi Najib berkata, ia sekadar jangkaan; Kabinet belum buat keputusan apa-apa. Pada saya komen Najib kepada kenyataan menteri di atas kapasiti Ketua Pemandu itu – badan yang memantau prestasi dan pengurusan kerajaan – sebenarnya tidak perlu atau mengelirukan.
Mengapa saya berkata begitu? Idris adalah anggota Kabinet dan setiap anggota Kabinet terikat dan perlu bertanggung jawab dengan segala sikap dan kenyataan yang diambil baik oleh Perdana Menteri atau menteri-menteri lain. Prinsip tanggung jawab bersama atau collective responsibility ini adalah konvensyen di United Kingdom yang dimasukkan dalam perlembagaan, khususnya Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah prinsip itu Kabinet mesti sekata dalam hal yang pokok dan kritikal seumpama pemotongan subsidi yang disebut Idris tadi. Sebab itu saya setuju cadangan Charles Santiago.
Sudahlah ia gagal mengurus ekonomi ia enggan pula mengakui apa yang berlaku. Sekiranya Najib tidak setuju apa yang dikatakan Idris, beliau boleh memecat bekas CEO Syarikat Penerbangan Malaysia itu dari Kabinet atau sekiranya menteri berkenaan tetap tegas mempertahankan apa yang dikatakannya maka perlulah Idris meletakkan jawatan dan meninggalkan Kabinet. Jika Najib dan Idris tidak berbuat apa-apa rakyat tentunya keliru: mana atau siapa yang betul, Najib atau Idris?
Apakah sesi taklimat yang diberi Idris itu di luar pengetahuan Najib? Ini tidak penting. Sama ada tahu atau tidak apa yang penting ialah Kabinet perlu ada sikap. Baik yang dikatakan oleh Najib yang bermaksud Kabinet tidak kisah negara akan bankrap atau sebaliknya atau mengambil pendirian sebagaimana yang disebut oleh Idris. Menteri tidak boleh membuat kenyataan yang sedemikian penting tanpa pengetahuan atau komitmen rakan-rakan Kabinet yang lain.
Mungkin ada yang berkata Idris masih baru dan bukan ahli politik pula. Saya tidak fikir begitu. Ini kerana sebelum ini pun ada kalangan ahli politik yang veteran melakukan hal yang sama. Kita tentu masih ingat sikap dan kedegilan Tan Sri Bernard Dompok dalam isu negara Islam beberapa tahun lalu. Begitu juga dengan perbezaan pendapat antara Tun Dr Lim Kheng Yaik dengan Tan Sri Annuar Musa dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1997.
Bila menteri kata negara akan bankrap
- ABDUL AZIZ BARI
1 ulasan:
Buta perut, buta hati, buta mata.....baru dapat jadi menteri bercakap macam orang gila.......
Malaysia bangkrap bukan kerana subsidi tetapi kerana pemimpin umno merupakan PERASUAH nombor wahid dalam planet ini.
Catat Ulasan