"SEPINTAS LALU PILIHANRAYA UMUM 2008 Dalam Pilihanraya Umum 2008 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Perak,jumlah pengundi berdaftar adalah sebanyak satu juta seratus sembilan puluh enam ribu seratus enam puluh orang pengundi (1 196 160) di 59 buah Dun dan 24 buah Parlimen di negeri Perak. Secara pecahannya pula,bilangan pengundi mengikut kaum adalah Melayu (53.1%),Cina (35.61%),India (10.88%) dan lain-lain (1.22%).Berikut pula adalah jumlah undi yang diperoleh oleh Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat di Perak:
LEMBARAN SATU
N1-N14
LEMBARAN 2 N15-N28 |
LEMBARAN 3 N29-N42 |
LEMBARAN 4 N43-N59 |
Pada dasarnya,berdasarkan keputusan PRU 12 tersebut,kedudukan kerusi adalah berimbang di mana BN memiliki 28 buah kerusi manakala PR pula berjaya membentuk kerajaan dengan kelebihan tiga kerusi apabila berjaya memenangi 31 buah kerusi.Untuk rekod,kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang melalui tindakan tiga orang Adunnya lompat parti dan menjadi proksi Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri Perak.
Walaupun hanya dibezakan dengan tiga kerusi,undi popular iaitu jumlah undi terkumpul untuk seluruh negeri Perak adalah sebanyak 53 peratus bagi Pakatan Rakyat dan 47 peratus bagi Barisan Nasional.Di beberapa buah negara lain,undi popular diambil kira dalam menentukan kerajaan yang bakal dibentuk dan jika ini digunapakai,Pakatan Rakyat sebenarnya mempunyai sebuah kerajaan yang kuat di Perak selain boleh mengelakkan kes lompat parti daripada terus berlaku.
Antara faktor utama pengumpulan jumlah undi yang tinggi oleh Pakatan Rakyat adalah kerana jumlah majoriti yang diperoleh di kawasan pengundi Cina cukup tinggi,manakala di kawasan Melayu Campuran,Barisan Nasional hanya menang dengan majoriti undi yang kecil di bawah paras 1000 undi.Majoriti tertinggi di Perak diperoleh oleh DAP melalui calonnya Ngeh Koo Ham di Sitiawan yang memperoleh majoriti 8529 undi manakala majoriti terendah diperoleh oleh calon UMNO bagi Dun Pengkalan Baru,Datuk Hamdi Abu Bakar yang menewaskan calon Pas dengan hanya berkelebihan 14 undi.
Sebagai sesuatu yang penting untuk diperhatikan,berikut disenaraikan kawasan-kawasan Dun yang dimenangi oleh wakilnya dengan kelebihan undi kurang daripada 1000 undi:
1.N5 Selama (kawasan Melayu)
UMNO menang majoriti 355
2.N6 Kubu Gajah (kawasan Melayu)
UMNO menang majoriti 66
3.N9 Kuala Kurau (kawasan Campuran)
PKR menang majoriti 467
4.N10 Alor Pongsu (kawasan Melayu)
UMNO menang majoriti 95
5.N12 Selinsing (kawasan Melayu)
Pas menang majoriti 547
6.N13 Kuala Sepetang (kawasan Campuran)
PKR menang majoriti 564
7.N15 Trong (kawasan Melayu)
UMNO menang majoriti 916
8.N16 Kamunting (kawasan Campuran)
UMNO menang majoriti 555
9.N17 Pokok Assam (kawasan Cina)
DAP menang majoriti 865
10.N20 Lubuk Merbau (kawasan Melayu)
Pas menang majoriti 72
11.N23 Manjoi (kawasan Campuran)
UMNO menang majoriti 348
12.N29 Kepayang (kawasan Campuran)
DAP menang majoriti 490
"
13.N35 Manong (kawasan Melayu)
UMNO menang majoriti 749
14.N36 Pengkalan Baru (kawasan campuran)
UMNO menang majoriti 14
15.N43 Sungai Rapat (kawasan campuran)
UMNO menang majoriti 636
16.N45 Teja (kawasan Cina)
PKR menang majoriti 175
17.N53 Rungkup (kawasan campuran)
UMNO menang majoriti 454
18.N56 Changkat Jong (kawasan campuran)
PAS menang majoriti 899
PRU 13 TAHUN 2011?
Khabar angin begitulah.Mungkin tempoh kerajaan memerintah penggal yang ke 12 ini akan menjadi tempoh yang paling singkat dalam sejarah politik negara.Pelbagai petanda awal ditebak untuk merasionalkan tekaan bahawa PRU 13 bakal berlaku seawal Mac depan rentetan daripada teka-teki Pilihanraya Negeri Sarawak,penangguhan pemilihan MT UMNO selama lapan belas bulan dan terbaru pendakwaan terhadap DS Mohd Khir Toyo.Sebagai penganalisis politik yang tidak bertauliah,penulis merasakan penanda-penanda aras tersebut sudah terlampau dekat,namun persoalannya adakah Pakatan Rakyat dan Pas khususnya telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya ini?Di pihak Barisan Nasional,semestinya mereka telah ada satu "grand-design" merampas Perak secara rasmi seperti yang berlaku pada Terengganu pada tahun 2004.Cuma yang untungnya,persempadanan semula masih belum mampu dibuat,maka terselamatlah kawasan-kawasan pengundian daripada kekacauan persempadanan tersebut.
Di Perak umumnya,tiada pihak yang boleh merasa selesa dengan kedudukan sebenar,di mana BN akan turun sebagai kerajaan dan PR juga akan turun sebagai kerajaan.Jika dahulu dalam tahun-tahun sebelumnya BN turun sebagai penyandang dan PR pula tidak meletakkan harapan yang terlampau tinggi,kini tidak lagi. Tumpuan bakal terarah kepada siapa yang sebenarnya diiktiraf secara rasmi sebagai kerajaan di hati rakyat. Oleh itu,kedudukan akan dijangka panas di 18 buah kerusi terbabit kerana kekuatan kedua-dua belah pihak sebenarnya berimbang dan dipisahkan dengan majoriti yang kecil.Untuk rekod juga,sepuluh kawasan panas tersebut diwakili oleh wakil BN manakala 8 daripadanya pula adalah wakil daripada Pakatan Rakyat. Persoalannya,adakah kerusi-kerusi tersebut bakal beralih arah atau kekal di status quo masing-masing?
Ramalan Berdasarkan Situasi Semasa
Dap mempunyai 18 buah kerusi di mana kesemuanya adalah kawasan majoriti Cina dan kawasan campuran majoriti Cina.Hanya terdapat satu kerusi dominasi Cina dimenangi oleh calon MCA dalam PRU12 iaitu di Dun Chenderiang.Di atas kertas,majoriti yang diperoleh oleh calon DAP cukup tinggi kecuali di dua Dun iaitu Dun Pokok Assam dan Kepayang.Oleh itu,secara realistiknya,dijangka DAP bakal menghadapi laluan mudah untuk mempertahankan 16 daripada 18 kerusinya di Lembah Kinta.
Malah,secara analisis mudah,dijangkakan DAP bakal mendapat pertambahan undi yang tinggi di kesemua kawasan yang ditandinginya memandangkan peratus sokongan kaum Cina dianggarkan beralih kepada setinggi 70 peratus kepada Pakatan Rakyat kesan sentimen perkauman yang ditimbulkan semenjak akhir-akhir ini.Malah,kredibiliti MCA dan Gerakan sebagai parti yang mewakili kaum Cina di Perak dilihat malap tanpa mempunyai tokoh yang mampu mengembalikan sokongan kaum Cina kepada mereka.Sebenarnya, sekiranya kita rajin untuk memerhatikan perkara ini,peralihan undi Cina di Perak kepada DAP bukan berlaku pada tahun 2008 tetapi semenjak tahun 2004 lagi menjadikan DAP menjadi wakil pembangkang teramai di Parlimen kebanyakannya disumbangkan oleh kerusi-kerusi dari negeri Perak seperti Ipoh Timor,Ipoh Barat dan Batu Gajah.Maka,adalah diyakini bahawa sokongan ini akan kekal disebabkan tiadanya faktor penolak yang jelas dalam kalangan pengundi Cina terhadap DAP di Perak.
Oleh itu,16 buah kerusi mungkin sudah di dalam tangan Pakatan Rakyat.Persoalannya,bagaimana pula hendak mencari baki sekurang-kurangnya 15 lagi kerusi seperti dalam Pilihanraya Umum yang lalu?Adakah Pakatan Rakyat dapat mengekalkan status quo di kerusi-kerusi mereka termasuk kerusi Jelapang,Behrang dan Changkat Jering yang mana Adunnya telah lompat parti?Itu adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan oleh kita semua.
Oleh itu,16 buah kerusi mungkin sudah di dalam tangan Pakatan Rakyat.Persoalannya,bagaimana pula hendak mencari baki sekurang-kurangnya 15 lagi kerusi seperti dalam Pilihanraya Umum yang lalu?Adakah Pakatan Rakyat dapat mengekalkan status quo di kerusi-kerusi mereka termasuk kerusi Jelapang,Behrang dan Changkat Jering yang mana Adunnya telah lompat parti?Itu adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan oleh kita semua.
Mengintai Kekuatan Barisan Nasional
Jika kita hendak mencongak untung nasib politik sendiri,memahami kekuatan lawan adalah sesuatu yang penting untuk kita mengatur gerakerja bersama.Jika kekuatan Hang Tuah terletak pada huruf Ta,persolannya di manakah letaknya kekuatan Barisan Nasional?
Perlu diingatkan,kekuatan BN bukan terletak pada huruf B mahupun N,tetapi kekuatan mereka sekarang tidak lain dan tidak bukan adalah perkauman.Lihatlah bagaimana gendang perkauman dipalu dan dicanang rentaknya tingkah-bertingkah.Adakah kita fikir strategi itu tidak menjadi?Sebenarnya,cakap-cakap perkauman ini masih lagi laku dalam kalangan orang Melayu luar bandar yang tidak mengikuti media baru.
Oleh itu,secara umumnya,di sini disenaraikan kawasan-kawasan Dun di Perak yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional khususnya UMNO iaitu Dun Pengkalan Hulu,Temenggor,Kenering,Kota Tampan,Batu Kurau,Lintang,Hulu Kinta,Bukit Chandan,Belanja,Bota,Tualang Sekah,Chenderiang,Ayer Kuning,Sungai Manik,Kampung Gajah,Pangkor dan Slim.Jika dicongak,terdapat 17 buah kerusi selesa untuk Barisan Nasional di Perak.
Di peringkat Pakatan Rakyat pula terdapat 16 kerusi selesa DAP,dua untuk PKR dan dua untuk PAS.Ini bermakna terdapat 20 kerusi selesa untuk Pakatan Rakyat.
Jika ditambah 20 kerusi Pakatan dan 17 kerusi Barisan,maka terdapat 37 buah kerusi quo daripada kedua-dua belah pihak,maka masih terdapat baki 22 buah kerusi Dun yang perlu direbut oleh kedua-dua belah pihak bagi membentuk kerajaan.Secara umumnya,perlumbaan kali ini bukan hanya mahu mendapat kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan tetapi lebih daripada itu mendapatkan seberapa banyak jumlah kerusi supaya mampu membentuk kerajaan yang kuat sekaligus mengelakkan peristiwa lompat parti berulang kembali.Oleh itu,untuk mendapatkan kerajaan yang kukuh,sesebuah parti perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 40 buah kerusi supaya kedudukan dalam Dun menjadi 40-19 dan mencapai kedudukan 2/3 dewan.
Peluang Pakatan Rakyat?
Dalam pilihanraya umum yang lalu,UMNO dilihat mengungguli kerusi majoriti Melayu dan DAP menguasai kerusi majoriti Cina.Jika ini masih berlaku,kedudukannya masih seimbang 17-16.Untuk menang,mana-mana parti tidak boleh bergantung kepada kawasan yang berdemografi majoriti sesuatu kaum,malah sebenarnya perlu menembusi kerusi campuran yang banyak di Perak.Oleh itu,isu perkauman adalah tidak relevan dalam kes di Perak.
Jika isu perkauman cukup berjaya pun di Perak,UMNO hanya mampu menang di kerusi Melayu (di mana mereka memang telah mendominasi di kerusi Melayu).Jika UMNO terus menerus dengan agenda perkaumannya,maka diyakini bahawa mereka akan tewas di kerusi-kerusi campuran di mana terdapat kawasan campuran yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional dengan majoriti tipis.
Pilihanraya kecil Bukit Gantang adalah satu contoh kerusi campuran yang menarik untuk diperhatikan.
Dalam Pilihanraya Umum 2008,Parlimen Bukit Gantang mempunyai 55 471 orang pemilih berdaftar.Secara umumnya,kawasan Bukit Gantang dianggap sebagai satu kawasan campuran dengan peratusan pengundi 63.5% Melayu,27.1% Cina,9.1% India dan baki 0.2% lain-lain kaum.Berikut adalah keputusan rasmi PRU12:
Allayarham Roslan Shaharum (PAS) 20 015
Datuk Azim Zabidi (BN ) 18 499
M.Morgan (bebas) 872
majoriti: PAS - 1566
Pada 7 April 2009,satu Pilihanraya kecil di P59 Bukit Gantang diadakan setelah kematian penyandang,Haji Roslan Shaharum (Pas) secara mengejut akibat serangan penyakit jantung.Keputusan PRK Bukit Gantang tersebut menunjukkan Pas menang dengan majoriti 2789,meningkat daripada 1566 sebelumnya.Jumlah undi yang diperolehi oleh calon Pas,Datuk Seri Nizar Jamaluddin adalah sebanyak 21 860 manakala calon BN,Ismail Saffian pula memperoleh 19 071 undi.Walaupun terdapat peningkatan undi buat Barisan Nasional,itu belum cukup untuk menafikan pertambahan undi yang tinggi terhadap Pas,di mana secara logiknya UMNO sepatutnya mendapat lebih undi memandangkan ketika itu heboh isu penderhakaan terhadap Sultan Perak.
Pas dilihat tidak hilang sokongan pengundi Melayu,(malah dilihat menetap dan bergerak dalam jumlah yang sedikit daripada turun naik undi),walaubagaimanapun memperoleh hampir 85 peratus undi Cina di kawasan Kuala Sepetang,membuktikan betapa isu perkauman hanyalah perangkap makan tuan buat Barisan Nasional.
Apapun,mahkamah rakyat Perak telah hampir untuk bersidang tahun hadapan.Kita akan melihat siapakah yang bakal dihakimi oleh rakyat untuk memerintah negeri Perak Darul Ridzuan.
p/s:ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata.Penulis meraikan perbezaan pendapat oleh mana-mana pihak dalam membuat ramalan terhadap keadaan politik di negeri Perak.
artikel asal penulis di sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan