Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai. Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.
Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.
FOKUSKAN LENSA
Lebih-lebih lagi pelancong atau orang luar, jika tidak diberitahu, mereka lalu begitu sahaja tanpa merakamkan atau memfokuskan lensa ke arah rumah itu.
Namun, di situlah diamnya seorang pemimpin negeri. Di satu sudut rumah, seorang lelaki tanpa kaca mata, segak membetulkan songkok sejurus mengenakan kot cerah coklat dan mengikat tali leher merahnya.
Kemudian dia duduk seketika, sambil menghirup kopi, minuman kegemarannya. Pagi itu, dia tidak sempat bersarapan, seperti kelaziman hari-hari lain juga.
Jadualnya padat dan waktu yang singkat, adakala tidak upaya menjamah hidangan pagi. Itulah rutin yang dilaluinya, sejak hampir tiga tahun memikul amanah rakyat dan agama.
Sekali hirup, beliau merenung jauh. Kini tidak sama seperti dulu. Malah dia terasa kehilangan sesuatu iaitu tidak dapat melakukan perkara yang disukainya sejak dulu. Rupanya dia merindui untuk ke pasar secara sendirian membeli ikan dan bersembang panjang dengan masyarakat di warung kopi atau di kedai makan!
MENUNGGU ARAHAN
Lamunannya terhenti tatkala, seorang pengawal peribadi muda memaklumkan semuanya telah siap siaga menunggu arahan selanjutnya.
Di luar sana, kereta peronda bersama polis pengiring bermotosikal, sudah terpacak setia. Di tepi laman rumah dua buah kereta rasmi kerajaan, dua pemandu beserta empat pegawai lelaki kemas berpakaian kemeja lengan panjang berdiri di sisi pintu, menghormati dia, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah mendahului pergerakan semua.
Tepat jam 8.00 pagi itu, pasukan pengiringnya bersama pemimpin negeri itu bergerak ke satu lokasi,jauh di pendalaman di mana majlis besar dihadiri ribuan rakyat yang sudah menunggu tanpa jemu.
Di sana, rakyat sudah tidak sabar menantikan amanatnya. Gurau dan seloroh Menteri Besar mereka itu, seringkali mencuit hati. Tanpa laras bahasa yang sukar, menggunakan ayat-ayat bersahaja, beliau bijak dalam mencernakan dan mencanaikan ucapannya agar mudah difahami semua.
Baik isu ekonomi, sosial, agama, politik, pendidikan mahupun undang-undang, Ustaz Azizan tahu apa yang diperkatakan. Tidak sekadar membaca teks, beliau benar-benar faham apa yang diluahkan. Sesekali beliau menggunakan metafora, analogi dan contoh-contoh sekeliling, untuk mencantas atau menjelas letak duduknya sesuatu perkara.
"Saya ini umpama ketam batu. Sekali saya sepit ekor beruk, pasti menggelupur. Jangan cabar saya kembali ke perangai lama, nanti saya bongkar habis semua ...!"
Seusai berucap laungan takbir bergema dengan iringan tepukan gemuruh, menghangat suasana malam itu sewaktu berceramah di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut dengan disaksikan puluhan wartawan dan pengamal media dalam dan luar negara.
ACAH-ACAH LAWAN
Kehadiran 10,000 hadirin semata-mata mahu mendengar petikan dan amaran Ustaz Azizan yang tak mungkin dilupakan berhubung isu Adun Lompat beberapa bulan lalu, akibat diacah-acah lawan bagi mencalarkan imej bersih dan amanah yang galas beliau selama ini.
Itu cerita dan kehebatan Ustaz Azizan bersilat dalam gelanggang ceramah. Lain pula kisahnya ketika dia menggulung hujah dan menepis segala jurus-jurus lawan yang dihalakan kepadanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah.
"Soalan itu seolah-olah menghina bidang kuasa Sultan. Tarik balik soalan itu!" kata seorang Adun Pembangkang daripada Barisan Nasional dengan penuh emosi berang.
Tanpa membuang masa, Azizan bangun mencelah: "Perkataan 'seolah-olah' bukanlah ayat yang jelas atau mempunyai bukti. Jika di mahkamah, perkataan ini tidak terpakai sama sekali".
Hujahnya tepat, menyiku lawan. Beliau sudah lama dan sebati dengan Dewan. Undang-undang dan peraturan mesyuarat, umpama 'zikir' di bibirnya. Dia yang paling lama sebagai Adun Pembangkang dan kini beralih kuasa di tangan, beliau memegang tampuk pemerintahan.
Bukan sembarangan Ustaz Azizan ini. Berwatak sederhana dan bersahaja. Anak kelahiran kampung Sungai Limau, yang diasah sopan, akhlak dan pendirian. Bijak berilmu sehingga melanjutkan pelajaran ke University Of Kent, Canterbury, United Kingdom, pengkhususan dalam bidang perlembagaan. Tak mudah lawan atau musuh menyerangnya bertubi-tubi kerana tajinya sangat tajam.
Tidak cukup dengan itu, pengikut dan anak muridnya terlalu ramai. Masakan tidak, beliau dulu adalah seorang tenaga pengajar di Maktab Mahmud, Ketua Jabatan Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Tidaklah berhasrat menceritakan fakta-fakta, statistik atau angka-angka kejayaan pimpinan Ustaz Azizan ini berkaitan bab peningkatan hasil balak, pengurangan kadar jenayah, percambahan projek pertanian atau apa sahaja, kerana ia sudah terang lagi bersuluh. Risalah, berita, dokumentasi, rakaman dan cd-vcd sudah bercambah dan sentiasa memenuhi ruang galeri.
BANGUNKAN INSANIAH
Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.
Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.
Sebenarnya beliau bukan seorang pemimpin yang suka melakonkan watak atau berlakon di hadapan lensa malah cukup keberatan untuk dikutip kisah perjuangan sepanjang hayatnya. Dia pernah menolak diwawancara Harakah secara eksklusif Harakah, walaupun beliau amat sayang akan organ parti ini dan pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Harakah.
Katanya kepada saya, ketika melaporkan diri sebagai Ketua Wartawan Harakah Negeri Kedah awal tahun ini, beliau lebih suka bersikap merendah diri dan kurang menggemari publisiti berbentuk sensasi.
"Takpalah...Azamin. Biar saya 'low profile' dan buat kerja-kerja macam biasa. Azamin buatlah kerja dan duduklah elok-elok di sini ya," katanya bernada rendah menyinggah hati nurani.
Dan sejak itu saya memerhati dari jauh dan mengekorinya tanpa disedari. Tidak pernah saya mendekatinya dengan lebih rapat lagi bimbang-bimbang disalah erti. Sehinggalah selepas tujuh purnama saya di sini, beliau buat pertama kalinya menjemput saya ke rumah. Berbual santai, sembang-sembang hal keluarga dan menitipkan luahan hatinya tentang pergolakan politik semasa.
Dulu bermacam-macam nista dipalit kepada Ustaz Azizan. Tidak mesra, tidak pandai ceramah, ego dan bengis kata mereka yang tidak puas hati dengan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Adun Sungai Limau ini.
Namun setelah dua kali berbual mesra dan mengikuti segala aktiviti serta program beliau selama tujuh bulan ini, nyata tusukan dan cacian itu, tidak benar dan hanya fitnah semata.
AMAT TEGAS
Ini tidaklah bermakna, dikesampingkan warna sebenar, perwatakan beliau. Ustaz Azizan sememangnya seorang yang amat tegas terutama melibatkan tugasan dalam parti mahupun kerajaan negeri. Bekas pensyarah kehormat di Universiti Mindanao ini juga tidak suka kerja "cincai-bomcai".
Baginya semua 'perfect' dan 'zero-defect'. Tidak kurang kakitangan atau petugas parti yang menerima terjahan teguran dan kritikan daripadanya. Katanya setiap tindakan memberi kesan kepada agama dan perjuangan parti yang dibawa. Yang akan menerima tempias ialah, Islam dan PAS.
Betapa seriusnya Ustaz Azizan mentadbir parti sehingga adakalanya bermesyuarat sampai malam dan sesekali beliau mengejutkan para pegawainya yang sedang lena diulit mimpi, untuk berkumpul di rumahnya lewat tengah malam bagi membincangkan isu amat genting.
Pernah sekali, walaupun pintu tertutup rapat, saya mendengar beliau berang memarahi seseorang kerana kelemahan menyelesaikan tugas yang diberi. Gamam juga saya yang kemudian beransur beredar perlahan-lahan daripada pejabat Menteri Besar itu sebelum menambah lagi murka.
Akan tetapi ironinya, puncak kemarahannya hanya di bucu empat penjuru biliknya sahaja. Selepas melintasi ruang legar atau di luar bilik itu, beliau akan bersikap sediakala malah orang yang dimarahinya, boleh berbual dan makan semeja dengannya.
CUKUP BERANG
"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.
Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.
Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.
Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.
Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.
Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.
Sejak dua tahun lebih menjadi MB, beliau tidak pernah ke luar negara walaupun pernah dijemput oleh gabenor jiran senegeri iaitu Thailand. Menjelang Ramadan ini, khabarnya kali pertama beliau mahu akan ke negara Timur Tengah, setelah lama mendiamkan diri melaksanakan tanggungjawabnya di sini.
Beliau sebenarnya tidak mahu, dianggap memoncah dalam berbelanja dan dilihat membuang masa serta bersuka ria ke sini sana lebih-lebih lagi ke luar negara. Hatta dalam berbelanja untuk kegunaan sendiri pun, Ustaz Azizan cukup sederhana dan bersikap berpada-pada.
HARGA KEMEJA MB
Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.
Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!
Pernah pentadbiran kerajaan negeri berhasrat melupuskan atau menjual kenderaan rasmi Menteri Besar dua buah kereta Mercedes lama plat nombor KY12 dan KN 2000, akibat terlalu teruk kerosakannya namun dihalang Ustaz Azizan yang meminta dibaiki dan akhirnya dipakai semula oleh beliau sendiri.
Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini,beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.
Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.
Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.
HUBUNGAN DENGAN ISTANA
Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.
Bukan itu sahaja, MB Kedah ini akan mengiringi Sultan Kedah di lapangan terbang sama ada ketika baginda bertolak mahupun pulang daripada luar negara. Biarpun sekadar 5 ke 10 minit cuma bersua dan mengiringi baginda, tanda hormat yang ditunjukkan kepada Sultan amat tinggi.
Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi
Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!
Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!
Jika di Kedah pula, beliau suka hidangan gulai masam ikan dan ulam-ulaman disajikan. Dan tatkala melawat kawasan kampung di sekitar Kedah bagi tujuan rasmi ataupun tidak formal, masyarakat rata-ratanya sudah tahu makanan kegemaran beliau dan menghidangkannya setiap kali beliau menziarahi penduduk di situ.
Manakala kalau di rumah, sebelum waktu tidur jam 10 malam, Ustaz Azizan suka berbaring di sofa panjang sambil membaca buku-buku atau kitab-kitab tafsir. Itu hobinya sejak dulu lagi. Kadang-kadang asyik membaca, beliau boleh terlena di situ. Minatnya pada buku sukar disangkal. Presiden PAS Dato' Seri Hadi Awang juga, ada masa meminta Azizan menyemak buku tulisannya sebelum diterbitkan.
SAMPAI KULIAH
Jika berkesempatan, beliau meneruskan kesinambungan dakwah dengan menyampaikan kuliah yang selalunya diadakan di Kompleks PAS ataupun Kediaman Rasmi MB di Seri Mentaloon setiap Jumaat. Bukan sedikit pengikut atau yang minta mendengar kuliah yang disampaikan, dan ada masa bergilir dengan Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din.
Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Beliau jarang menghampakan orang, bahkan tetamu yang menjengah ke rumah ataupun ke pejabatnya sama ada melalui temujanji ataupun yang datang secara spontan.
Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari.
Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.
Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.
Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.
Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.
MATI RENTUNG
Ada satu kisah ketika, alam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur kerana urusan mesyuarat, beliau mendapat khabar sebuah keluarga Cina di Jitra yang kehilangan dua orang anaknya akibat mati rentung. Kisah menyayat hati itu, dilaporkan semua media. Beliau kemudian lantas ke tempat kejadian, tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu.
Ustaz Azizan tiba menyampaikan sendiri bantuan dan duduk bersama kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut sambil cuba mententeramkan kesedihan mereka tatkala jenazah keduanya masih berada dalam keranda dan belum dikebumikan.
Selain itu, jika tetamu yang hadir atau membuat kunjung hormat, Ustaz Azizan akan melayan dan meraikan mereka sehabis mungkin sehinggakan beliau meneliti terlebih dahulu menu makanan yang bakal dihidangkan supaya para tetamunya mendapat sambutan yang terbaik.
Jika tiada acara lain, beliau lebih suka makan di dalam pejabatnya bersama staf mahupun para pegawai, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan warga kerja di Wisma Darul Aman itu.
Bukan sediki
t yang sudah bertandang ke pejabatnya, daripada beberapa Menteri Pusat, para kedutaan, korporat atau konglomerat, guru, pelajar, bomba dan aneka ragam sehinggalah makcik pakcik dari kampung. Semua teruja dan mahu bertemu pemimpin disegani ini.
Biarpun beberapa media adakalanya cuba menconteng arang, tetapi secara purata dan majoriti, ramai yang tidak termakan racun hasutan. Semua telah menjadi saksi kepala. Tinjaun rambang yang dibuat, semuanya amat menyukai corak pentadbiran Azizan dan jika kekal begini, maka berputih matalah, mereka yang berhasrat atau mahu merujuk kembali kuasa yang sudah lama berpisah dari diri.
Walaupun media melaporkan songsang, hakikatnya pengamal media arus perdana dan alternatif di Kedah, menganggap Ustaz Azizan seorang yang mesra media. Beliau amat kenal seorang demi seorang wartawan yang membuat liputan. Ingatannya tajam. Bukan itu, sahaja, AUstaz zizan akan menjawab semua soalan yang ditujukan dengan pancungan hujahnya yang bernas.
PERANGKAP WARTAWAN
Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.
"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.
"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.
"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.
Sebenarnya setiap kali, sidang media di pejabat Menteri Besar, seminggu sekali adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pengamal media. Bukan setakat mendapatkan berita, tetapi lebih kepada kemesraan hubungan serta bergurau senda dengan Ustaz Azizan, yang menganggap para wartawan sebagai sebahagian daripada keluarganya.
JADI PENTERJEMAH
Jika sidang media dibuat dengan para duta atau diplomat asing, Ustaz Azizan lazimnya bertindak sebagai penterjemah dalam bahasa Inggeris dan membantu media menjelaskan jawapan.
Selain asakan fitnah lawan, beliau juga sering dilambakkan dengan segunung harapan oleh penyokong parti dan rakyat negeri supaya melakukan perubahan besar-besaran agar nampak hebat dan boleh dipandang semua, tetapi tidak pernah melatah. Beliau bukan seorang yang gopoh dalam mengatur langkah.
Kata seorang ustaz menjawat exco pemuda negeri, Ustaz Azizan bukan seorang yang 'ghairah' berceramah atau suka menunjuk aksi di sana sini, baik sebelum menjadi MB ataupun kini. Beliau sering mengutamakan jentera parti, memantapkan sistem dan pentadbiran kerajaan negeri.
RAMADAN
Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.
Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.
Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.
Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!
Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.
Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!
TERTIKAM MATA SENDIRI
Akhirnya permainan muslihat lawan, tertikam mata sendiri. Perbuatan keji yang diharapkan dapat menusuk dan mencincang imej Azizan atau nama busuk parti bertukar pujian melangit atas sifat pemurah pemimpin itu. Rupanya, kilasan dan serangan lawan melukakannya pun belum tentu!
Begitulah kehebatan seorang Azizan yang tiada duanya, yang mampu dinukilkan semoga bisa merungkai kekeliruan dan tuduhan tak bermata terhadapnya selama ini.
Sesungguhnya rakaman dua tahun lebih, kelibat keperibadian beliau, tidak mampu dikarang berkajang-kajang. Hanya selembar kisah, secebis cerita untuk tatapan semua untuk mengenali, cuba mendekati dan mencontohi sikap beliau, yang jauh di mata dekat di hati.
Moga mendoakan, agar kepimpinannya berpanjangan dan sekiranya berterusan, maka mudahlah saya menyudahkan cerita 1001 macam di sebalik tabir Ustaz Azizan Razak ini. Salam Ramadan al-Mubarak!
Kaedah: Jika barang itu menjadi perantara, maka tidak ada riba
Seminggu yang lalu
1 ulasan:
Selamat menjalani ibadah puasa dgn sempurna.
Bersama memakmurkan ramadhan dan semoga segala amal dan doa diterima-Nya.
Catat Ulasan