Utusan Online didakwa telah melaporkan secara fitnah dengan menegaskan Universiti al-Azhar membuat kesimpulan, pemain-pemain bola sepak professional boleh mendapat pengecualian berpuasa dalam bulan Ramadan.
"Ini merupakan satu fitnah kepada institiusi tersebut. Al-Azhar tidak pernah mengeluarkan fatwa bahawasanya seseorang itu dikecualikan dari ibadah yang rukun ini, " tegas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani kepada Harakah.
Ini kerana kata beliau, belum ada ulama yang mengatakan seorang muslim yang sudah baligh, waras lagi merdeka boleh terkecuali dari berpuasa melainkan sekiranya individu tersebut kafir, atau seorang muslim yang hamba dan kanak-kanak bawah umur.
"Fatwa tersebut adalah daripada dar al-ifta’ bukan dari al-Azhar," tegasnya lagi.
Justeru beliau berharap agar Utusan Online lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang artikel yang boleh menyentuh hukum serta sensitiviti umat Islam. Ustaz Azman menyifatkan laporan Utusan Online yang menulis tentang ‘pemain bolasepak Jerman dikecualikan berpuasa’ amat keterlaluan.
Beliau berkata, selaku medium perantaraan maklumat kepada rakyat Malaysia, akhbar arus tradisional itu wajar mengetengahkan berita-berita yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan bukannya yang mencetuskan kekeliruan dan kontroversi.
"Tidak keterlaluan juga dikatakan, penulis berita itu terlalu cetek dalam penulisan. Sebagai media yang menjadi tatapan awam, Utusan perlu menilai sejauh mana kebenaran dan dari mana sumber rujukan kepada setiap hasil penulisan," katanya kesal dengan laporan itu kepada Harakah.
Jelas Ustaz Azman, kewajipan berpuasa itu terpikul kepada semua individu muslim yang menepati syarat-syarat sah puasa dan sekiranya syarat-syarat itu dipenuhi maka beliau wajib perlu berpuasa dan tiada istilah 'kecuali' dalam isu ini.
"Ini kerana puasa di bulan Ramadan adalah rukun kepada umat Islam. Jadi tidak ada pengecualian hatta kepada pemain bola sepak. Yang ada kebenaran untuk berbuka kerana di sana terdapat syarat wajib berpuasa. Jadi sekiranya individu muslim itu tidak menepati syarat-syarat, maka dibenarkan berbuka tanpa ada pengeculian untuk berpuasa," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan