Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyelar tindakan Pergerakan Pemuda Umno yang membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan awal terhadap Himpunan BERSIH. Jelas tindakan mereka ini didorong atas ketakutan mereka dalam menghadapi gelombang kebangkitan rakyat pada 9 Julai ini.
DPPWP menganggap dakwaan Exco hal ehwal bandar pergerakan itu Tengku Azman Tengku Zainol Abidin yang mengatakan bahawa himpunan aman ini akan mendatangkan kerugian sebanyak RM 10 juta kepada para peniaga di Kuala Lumpur sebagai satu dakwaan yang tidak berasas.
Ketika Himpunan Bersih 2007, mereka juga membuat dakwaan yang serupa. Namun sehingga ke hari ini dakwaan itu gagal dibuktikan. Para peniaga sekitar Kuala Lumpur khususnya di Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abd Rahman masih dapat meneruskan perniagaan.Tidak ada yang diistihar bankrap kerana Himpunan Bersih. Tiada kedai-kedai yang dipecah masuk, tiada peniaga yang cedera, tiada harta awam yang rosak. Malah sebelum dan selepas himpunan itu, para peniaga menerima kunjungan pelanggan yang begitu ramai.
Pemuda Umno sebenarnya takut pada gelombang besar yang bakal wujud selepas kejayaan Himpunan Bersih 2007. Jika Himpunan Bersih 2011 berjaya, maka sekali lagi rakyat akan membuka mata dan tampil membuat perubahan yang lebih besar dalam Pilihanraya Umum ke-13.
Matlamat Himpunan Bersih adalah untuk mengajak rakyat menuntut hak demokrasi mereka dan menyelar pihak Barisan Nasional yang jelas memperkudakan Suruhanjaya Pilihanraya. DPPWP menyeru agar pihak Polis memberikan permit kepada penganjur himpunan Bersih dan memberikan kerjasama bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
Sehingga ke hari ini, semua himpunan yang disertai PAS berjalan dengan aman tanpa sebarang masalah walaupun pihak Polis enggan mengeluarkan permit. PAS sebagai salah sebuah organisasi yang menyokong Bersih memberikan komitmen penuh untuk mengajak rakyat memahami hak demokrasi mereka.
Justeru itu, DPPWP menyeru kepada seluruh ahli PAS Lembah Klang dan dari seluruh negara untuk hadir memenuhkan metropolitan ini bagi menunjukan kuasa rakyat kepada Barisan Nasional. DPPWP juga menyeru agar pemuda Umno turun sendiri membuat kawalan keselamatan, jika mereka merasakan perhimpunan ini mengancam mereka. Himpunan ini akan berlangsung dengan aman dan pihak berkuasa jangan biarkan diri anda menjadi perkakas Politik Umno-BN.
Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan