Kata Tian Chua, kerajaan sepatutnya mengambil langkah serius mengatasi inflasi, bukannya dengan gimik menu 1Malaysia yang tidak membawa kesan positif kepada ekonomi.
“Untuk mengubah kualiti hidup rakyat, kurangkan publisiti dan jangan membuat propaganda. Harga sebenar menu 1Malaysia ini dah diketahui. Ini perkara lucu yang menjadi lawak jenaka orang ramai,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Media semalam melaporkan Najib dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri Yaakob makan di sebuah restoran di Jalan Kuching yang menyajikan menu 1Malayisa dengan harga murah.
Program yang kononnya bakal diperluaskan kepada kira-kira 1,000 premis di seluruh negara itu juga dikatakan menawarkan makanan pada harga serendah RM2 bagi sarapan dan hidangan tengah hari RM4 bagi memastikan menu mampu dinikmati ramai.
Bagaimanapun Tian membawa hidangan serupa yang dimakan Najib dan membandingkan harganya adalah lebih mahal dari yang dilaporkan media selepas tinjauan di restoran yang menyediakan menu berkenaan di Taman Kok Doh, Jalan Kuching.
Harga sebenar makanan tengahari tersebut hampir sekali ganda, iaitu RM6 berbanding RM4 dalam pakej menu 1Malaysia, manakala menu sarapan yang berharga RM2 hanya dikurangkan kandungannya berbanding apa yang dipromosikan.
“Kemudian kami minta harga seperti yang dibayar Najib kepada pekerja restoran, tapi mereka kata harga itu hanya untuk semalam sahaja,” kata Chin, seorang pembantu ahli Parlimen Batu.
Difahamkan, restoran-restoran yang terlibat dengan promosi menu sarapan dan makan tengahari 1Malaysia diberikan subsidi.
Justeru, Tian mempersoalkan langkah tersebut, kerana subsidi seharusnya diberikan kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah, bukannya kepada restoran terpilih.
“Kalau begitu ia tak adil untuk kedai-kedai lain. Kerajaan kata itu menu rakyat yang sebenarnya tidak murah. Apa yang ditentang ialah publisiti murahan. Turunlah ke realiti untuk lihat ekonomi sebenar,” kata Tian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan