Faktor-Faktor Rasuah
Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya amalan rasuah seperti berikut:
1. Hilang atau lemah nilai keimanan dalam kehidupan manusia boleh menjadi faktor berlakunya penyelewengan dalam pencarian atau perolehan harta.
2.Tabiat manusia yang amat suka kepada harta benda. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Serta kamu pula kasihkan harta secara tamak haloba.”
(Surah al-Fajr: 20)
3.Tidak bersikap amanah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun memberikan dasar kriteria pemimpin, ketua, pegawai dan selainnya untuk dilantik. Sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”
(Surah al-Qashash: 26)
Sementara dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Seorang mukmin yang kuat (jiwa yang teguh dan bersih dalam perkara-perkara akhirat) lebih baik danlebih disukai Allah daripada seorang mukmin yang lemah….”
(Hadis riwayat Muslim)
Terabainya amanah iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada seseorang yang bukan ahlinya, adalah salah satu tanda hari kiamat. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apabila amanah diabaikan maka tunggulah hari kiamat.”
Bertanya (al-A‘rabiy): “Bagaimana mengabaikannya wahai Rasulullah?”
Baginda bersabda: “Apabila suatu perkara diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah hari kiamat.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
4.Tidak ada penerapan hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam kehidupan manusia.
5.kurang pemahaman atau tidak faham langsung dengan konsep serta ajaran Islam secara betul dan menyeluruh.
6.Faktor-faktor yang lain secara ringkas:
(i) Lemah pendidikan agama dan etika.
(ii) Tamak.
(iii) Banyak berhutang.
(iv) Ada keinginan dan ada peluang.
(v) Kepimpinan dan pentadbiran yang lemah.
(vi) Faktor sosial yang menganggap rasuah sebagai cara hidup.
(vii) Untuk mencapai cita-cita.
(viii) Belanja hidup yang semakin meningkat.
Ancaman Kepada Pengamal Rasuah
Ancaman-ancaman terhadap pengamal rasuah adalah seperti berikut:
1. Mendapat kemurkaan, laknat dan kebencian Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
2.Mendapat kutukan dan laknat daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
3.Tidak mendapat rahmat, taufiq dan hidayat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
4.Pemberi dan penerima rasuah diancam dengan api neraka.
5. Rasuah itu termasuk memakan harta dengan jalan yang salah.
6. Rasuah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar
7. Doa tidak diterima.
Bahaya Rasuah Dan Kesannya
Amalan rasuah merupakan suatu bentuk gejala sosial yang wajib ke atas setiap individu mencegahnya. Ini kerana rasuah itu banyak memberi kesan yang buruk, bukan sahaja terhadap individu bahkan juga kepada masyarakat dan negara. Antara kesan-kesan buruk rasuah itu adalah seperti berikut:
1. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Individu:
(i) Kehilangan pekerjaan.
(ii) Kejatuhan moral atau maruah.
(iii) Menerima hukuman.
(iv) Menghancurkan keharmonian hidup berumahtangga.
(v) Keluarga terabai.
2. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Masyarakat:
(i) Mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengenepikan hak-hak orang tertentu.
(ii) Menggalakkan jenayah dan melindungi penjenayah.
(iii) Membebankan golongan orang susah.
(iv) Memburukkan lagi taraf kemiskinan kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin diselewengkan.
3. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Negara:
(i) Menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran.
(ii) Menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan.
(iii) Tumpuan pembangunan yang tidak seimbang.
(iv) Kenaikan kos barang dan perkhidmatan.
(v) Mengurangkan pendapatan negara.
(vi) Menurunkan mutu dan kualiti kerja atau produk yang dihasilkan.
Penyelesaian Penyakit Rasuah
Ada beberapa cara atau langkah yang difikirkan boleh mengurangkan masalah rasuah ini daripada berleluasa, antaranya:
1. Menyebarkan kefahaman terhadap konsep Islam kepada masyarakat seperti menjelaskan reaksi Islam terhadap perbuatan rasuah dan mengenal pasti perbuatan yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta‘ala mahupun yang sebaliknya.
2. Pendidikan Islam sejak dari usia kecil agar membentuk peribadi muslim yang beriman dan bertakwa, kerana dengan adanya iman dan takwa boleh menghalang seseorang itu daripada melakukan maksiat.
3. Membentuk individu beretika mulia dengan menanam sikap amanah, jujur, menyuruh kepada melakukan kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.
4. Menanamkan sikap minat belia-belia untuk mempelajari kitab-kitab agama dan sebagainya.
5. Memperbanyakkan dan mengutamakan aktiviti-aktiviti keugamaan, seperti membaca, menghafal dan merenung isi kandungan al-Qur’an, mengkaji hadis-hadis dan kitab-kitab agama.
6. Membentuk peribadi muslim kepada seorang yang mahu mengubah sikap diri sendiri daripada yang jahat kepada yang terpuji. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri .....” (11)
(Surah ar-R‘ad: 11)
7. Memberi kefahaman yang jelas tentang makna dan tujuan hidup.
8. Membersihkan jiwa dengan menanamkan kerohanian Islam.
9. Merapatkan diri dengan al-Khaliq menerusi amalan ibadat yang wajib dan sunat, seperti sembahyang sunat, berpuasa, berzikir, membaca al-Qur’an dan berselawat.
10. Menjalankan hukuman ta‘zir bagi memberi pengajaran kepada pelaku rasuah dan juga untuk orang ramai mengambil iktibar dengan hukuman tersebut.
11. Menyediakan peruntukan akta atau undang-undang bagi membentras gejala rasuah daripada berleluasa. Sebagai contoh, di Negara Brunei Darussalam peruntukan akta berkenaan disebut sebagai Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131.
Penutup
Rasuah adalah perkara yang amat dilarang oleh syara‘, bahkan mereka yang terlibat dengan amalan rasuah akan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Perbuatan rasuah juga termasuk dalam perkara memakan harta orang lain dengan jalan yang salah. Kesannya setiap daging yang tumbuh dengan sesuatu yang haram, maka nerakalah yang lebih utama bagi orang tersebut, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Wahai Ka‘ab bin ‘Ujrah: “Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh pada dagingnya daripada sesuatu yang haram, nerakalah lebih utama baginya.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Hikmat di sebalik pengharaman Islam terhadap sumber-sumber pencarian yang tidak halal, Islam telah mencapai beberapa matlamat sosial dan ekonomi:
1.Menjalin hubungan antara manusia berdasarkan prinsip keadilan, persaudaraan, penjagaan kehormatan dan pemberian hak kepada orang yang berhak.
2.Islam telah menghapuskan faktor utama yang menyebabkan lebarnya jurang perbezaan ekonomi antara kelompok dan status masyarakat. Keuntungan yang keterlaluan, kebanyakannya datang daripada sumber yang haram berbeza dengan jalan yang baik, ia selalunya mendatangkan keuntungan yang sederhana dan logik.
3.Mendorong manusia agar bekerja dan berusaha, kerana haram memakan harta secara salah iaitu bukan berdasarkan pulangan hasil usaha atau tanpa berkongsi dalam keuntungan dan kerugian seperti judi, riba dan sebagainya, meskipun ia mendatangkan manfaat dari segi ekonomi.
Oleh itu, amalan rasuah hendaklah dicegah daripada berleluasa. Cara yang terbaik ialah memberikan pendidikan Islam sejak dari kecil lagi agar keimanan tersemai di dalam jiwa mereka. Apabila keimanan ada dalam jiwa setiap orang, nescaya segala perkara-perkara mungkar dan maksiat akan terhindar daripada mereka, sekaligus akan membina masyarakat dan negara yang aman lagi makmur.
Kaedah: Jika barang itu menjadi perantara, maka tidak ada riba
4 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan