Selasa, 27 April 2010

BN bukan lagi parti masa depan - Mustafa

KUALA LUMPUR, 27 April: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, Barisan Nasional (BN) bukan parti masa depan selepas hanya menang di kawasan terkawal seperti Felda dan kawasan miskin seperti Orang Asli.

Beliau turut menyifatkan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Hulu Selangor Ahad lalu hanya sebagai kemenangan sementara.

"Pengundi yang lebih celik dan tidak terikat dengan kerajaan mengundi PKR. Tapi pengundi yang terikat seperti Felda, Orang Asli dan di ladang-ladang, trendnya kepada BN.

"Kalau kita lihat masa depan negara yang kita harapkan lebih demokratik, rakyat lebih membaca dan mempunyai kesedaran, Umno/BN ini bukan parti untuk masa depan sebenarnya.

"Orang yang mempunyai kesedaran semacam sudah tidak percaya kepada Umno/BN tapi lebih percaya kepada komponen dalam Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Justeru, katanya angin perubahan yang dikatakan oleh pemimpin Umno/BN tidak berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Ini, ujarnya kerana tidak berlaku pengurangan undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

"Walaupun kelihatan pimpinan BN gembira, namun bagi saya keputusan pilihanraya kecil ini tidak menggembirakan mereka. Mungkin gembira dalam gelisah.

"Kalau alasan yang mereka gunakan bahawa ini tanda satu angin perubahan rakyat Hulu Selangor kepada BN daripada Pakatan Rakyat, ia tidak berlaku sebenarnya. Ini kerana calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim tidak mengalami pengurangan undi berbanding tahun 2008," katanya.

Pada pilihan raya kecil itu, Zaid mendapat 23,272 undi berbanding 23,177 yang diperolehi allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum lalu, yang berjaya menewaskan Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Beliau juga berkata, bantuan media arus perdana berkempen untuk BN termasuk menyerang peribadi Zaid, tidak menjejaskan undi kepada PKR seperti yang diharapkan mereka.

"Media memainkan peranan dalam isu lompat melompat dalam PKR di Hulu Selangor, tidak ada kesan sebenarnya. Fitnah terhadap Zaid pun tidak ada kesan. Yang ada kesan ialah faktor lain yang menaikkan undi kepada BN," katanya.

Menurut Mustafa, kempen BN yang begitu hebat kepada rakyat Hulu Selangor menyebabkan mereka dapat menawan kembali pengundi yang memprotes calon BN pada tahun 2008, G Palanivel.

"Tahun 2008 banyak undi rosak kerana ada orang Melayu dan India yang tidak begitu senang dengan calon BN, G Palanivel dan mereka tidak keluar mengundi dan merosakkan kertas undi.

"Kali ini mungkin dengan kempen yang begitu hebat, tiga tokoh utama BN, Najib, Mahathir dan Muhyiddin turun sekaligus berkempen ,bermaksud mereka begitu terdesak untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

"Pertambahan 2,000 undi yang diperoleh BN kali ini datang daripada undi yang rosak itu, yang dulunya satu protes, mereka sebahagiannya balik semula kepada BN.

“Yang keduanya undi pos. Mereka memperoleh majoriti 600 undi pos. Yang selebihnya mereka menggerakkan pengundi luar yang komited kepada BN untuk balik mengundi,” ujarnya.

Selain itu katanya, BN memberikan tumpuan kepada kawasan Felda, kawasan Orang Asli dan orang India.

"BN menumpukan kepada kawasan tradisi iaitu Felda, boleh dikatakan seluruh Felda dimenangi oleh BN. Orang Asli pula dilonggokkan di satu kawasan. Saya fikir perubahan tempat mengundi yang dikeluarkan SPR bagi membolehkan BN mengawal undi mereka.

"Dengan kemiskinan yang dihadapi Orang Asli, sudah tentu mereka termakan dengan apa yang diberikan BN. Undi India juga majoriti berpihak kepada BN," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Hud ayat 15-16

15]
Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.
[16]
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.


- Pemimpin Yang Menipu Rakyat


Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).

Arkib Blog

blogger sempoi