KOTA BHARU, 18 Mac: Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) memberitahu sejumlah 4.39 juta pengundi belum berdaftar, sebaliknya menteri pula kata kerajaan tidak akan memaksa rakyat untuk mengundi.
“Ini bermakna hanya SPR sahaja yang bersungguh-sungguh untuk mendaftar pemilih belum berdaftar, sedangkan kerajaan tidak berminat berbuat demikian.
“Mungkinkah ada sesuatu yang kerajaan cuba sembunyikan apabila tuntutan rakyat dan parti-parti pembangkang supaya mengguna daftar secara automatik tidak dihiraukan,” kata Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani.Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dilaporkan memberitahu persidangan parlimen, kerajaan tidak bercadang mengadakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat yang mencapai umur 21 tahun.
Sebaliknya, kata beliau kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang sedia ada dan tidak akan memaksa rakyat melakukan perkara di luar kerelaan mereka.
"Dalam pilihan raya, tak boleh paksa orang. Kita mengamalkan kebebasan berpersatuan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).
Sedangkan sebelum ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan memberitahu SPR bercadang mendaftarkan pemilih secara automatik bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan birokrasi. SPR juga dalam kenyataan menyebut sejumlah 4.39 juta pengundi atau 28 peratus dari jumlah pemilih yang layak tetapi belum mendaftar. Pada pilihan raya umum Mac 2008, sebanyak 72 peratus atau 7,878,875 pemilih keluar mengundi daripada 10,922,139 jumlah pemilih yang berdaftar di seluruh negara.
Mohd Khir yang juga Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali memberi analogi mudah, mana lebih baik tangkap ayam, kurung dalam reban atau tangkap ayam di luar kandang sebelum disembelaeh atau dikorbankan?
“Kerajaan sudah ada jalan yang begitu mudah dan menjimatkan masa bagi mendaftar pengundi, namun kerajaan masih enggan melakukan.
“Ini menimbulkan satu persoalan. Kalau tidak ada agenda sulit yang tidak diketahui umum, sudah tentu pendaftaran pengundi secara automatik yang lebih telus dan menjimatkan wang kerajaan diterima pakai,” katanya.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan