Dalam satu jawapan bertulis daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Dewan Rakyat pada 19 November 2009, sejumlah 4.3 juta (4,300,542) orang warga Malaysia tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi walaupun telah memenuhi kelayakan.Menurut Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikemukakan Kementerian Kewangan, populasi Malaysia telah mencatat 27.73 juta orang pada tahun 2008.
Dengan kata lain, mereka yang layak tetapi tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi, mencatat 15.5% daripada jumlah populasi Malaysia.
15.5% populasi tidak mendaftar
Sebelum pilihan raya umum pada 8 Mac 2008, statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sejumlah 4.80 juta warga tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi walaupun layak. Seandainya perangkaan-perangkaan rasmi ini adalah benar, apakah ia menunjukkan bahawa proses "tambah dan tolak" dalam tempoh satu dua tahun ini masih mengekalkan bilangan pengundi belum berdaftar pada paras yang tinggi?
Sebaliknya, dalam PRU yang akan datang, seandainya pengundi baru ini masuk ke dalam barisan puluhan juta pengundi, 15.5% daripada populasi ini bakal memberi impak yang besar kepada keputusan PRU, malah menjadi penentu siapakah yang bakal mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan.
Di samping itu, analisa Malaysiakini berdasarkan perangkaan Think Tank negeri Pulau Pinang, Socio-Economic and Environmental Research Institute (SERI) menunjukkan perubahan kecenderungan 6-10% pengundi pada PRU yang akan datang, bakal menentukan sama ada BN akan kehilangan kuasa kerajaan persekutuan, dan memberi laluan kepada peralihan kuasa dari parti ke parti.
Dengan kata lain, seandainya PR ingin merampas kuasa kerajaan persekutuan dalam PRU ke-13, maka PR perlu memandang serius perangkaan yang dikemukakan oleh JPM dan SERI.
Spekulasi tarikh PRU ke-13 tersebar luas kebelakangan ini. Malah ada yang menjangka, seandainya kerajaan BN menyambut "Hari Malaysia" secara besar-besaran pada tahun depan, bau PRU terhidu dalam Bajet 2011 pada tahun depan, kolej persendirian dipertingkatkan martabatnya menjadi universiti, berita (yang kelihatan) baik dalam ekonomi terhidang, maka, langkah PRU ke-13 semakin menghampiri.
Kempen pendaftaran secara besar-besaran klik tajuk di atas untuk kupasan lanjut
Andaikan PRU ke-13 jatuh pada akhir tahun 2010 atau kemudian. Sekiranya dilihat kepada anggaran Laporan Ekonomi Tahun 2009/2010, populasi akan menambah sebanyak 1.15 juta orang pada masa itu. Apakah ini juga bermakna bilangan mereka yang layak tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi, akan menunjukkan pertambahan yang jelas?
Perubahan angka ini menunjukkan, seandainya tiga parti komponen PR tidak mempercepatkan langkahnya untuk menggerakkan kempen pendaftaran pengundi, dan hanya dijalankan secara berselerak, maka kesannya mungkin ditenggelamkan oleh slogan "1Malaysia".
Slogan "1Malaysia" yang dibayar dengan mahal itu walaupun gagal memberi kesan untuk menyelesaikan gejala rasuah, rasisme, penjenayahan, kelembapan perusahaaan kecil dan sederhana (PKS), namun tetap memberi pengaruh kepada pemuda setelah dipropagandakan secara meluas.
Untuk menangkis serangan kempen "1Malaysia", kempen pendaftaran pengundi ini perlu menonjolkan satu ikon yang mampu menggarap imaginasi pengundi muda. Ikon ini adalah penting dan semestinya seorang "idola politik". Maka, pelaksanaan kempen ini di peringkat bahagian memerlukan penyelarasan antara parti komponen PR, dan kesediaan wakil rakyat kawasan itu untuk menerima ikon tersebut.
Pendek kata, ia menguji keikhlasan kerjasama antara parti komponen dalam PR, dan kelapangan dada pemimpin bahagian untuk menerima bahawa dirinya mungkin bukan "idola politik" yang dijadikan sebagai ikon.
PR perlu melihat survey Merdeka Center dengan optimis, tetapi jangan melihatnya dengan sikap yang sama terhadap laporan SERI. Lain kata seandainya krisis ekonomi global meletus untuk kali kedua, atau keruntuhan sistem ekonomi Malaysia dalam masa terdekat ini. Kalau tidak, agak sukar bagi PR untuk menguasai peralihan kecenderungan 6-10% pengundi.
Kempen pendaftaran pengundi juga perlu mengambil kira realiti bahawa ketidaksamarataan dalam pembahagian kawasan pengundian. Ditambah pula sistem "first-past-the-post" yang diamalkan, maka harapan PR untuk memerintah di pusat mungkin tidak kesampaian.
Ini kerana jikalau kebanyakan belia mendaftarkan diri secara kolektif sebagai pengundi bandar, maka kami boleh membuat andaian bahawa dalam kawasan-kawasan tertentu, calon yang bodoh mungkin mampu mengekalkan kerusinya dengan undi majoriti yang lebih besar, tetapi usahlah PR berharap untuk memerintah di pusat.
*Ooi Heng ialah penganalisa politik. Tulisan ini diterjemahkan dan disunting Lim Hong Siang.
Kaedah: Jika barang itu menjadi perantara, maka tidak ada riba
6 hari yang lalu
1 ulasan:
Pakatan Rakyat perlu ambil perhatian tentang ini!!
Catat Ulasan