Jumaat, 11 Disember 2009

'Mukjizat palsu media'


Media memang dianggap berpengaruh besar, malah ada yang melihatnya sebagai penentu, dalam persaingan merebut kuasa. Dalam konteks politik Malaysia, persaingan itu begitu berat sebelah, terutama apabila media tradisi dikawal dan dikongkong sepenuhnya oleh pemerintah.


Pelbagai akta dan peraturan digubal bagi encengkam pemilik media, seterusnya 'memenjarakan' para wartawan dan editor. Seringkali faktor 3M (media, money, machinery) dianggap membantu BN mengekalkan kemenangan "di padang permainan yang tidak pernah sama rata".

Kemunculan media baru bermula dalam pilihan raya 1999 telah memecahkan hegemoni BN terutama apabila ruang maya menyediakan persaingan yang lebih saksama. Pengenalan internet secara besar-besaran pada 1997, seperti penggunaan emel dan laman web, diikuti kemudiannya oleh blog, youtube, Twitter, Facebook dan seumpamanya, bukan saja memberi peluang rakyat Malaysia untuk akses kepada kepelbagaian sumber maklumat, malah mencabar kedudukan BN yang berdekad lamanya hegemonik dalam membentuk pemikiran dan budaya politik masyarakat.

Bagaimanapun, pensyarah sains politik UKM, Mohamad Nadzri Mohamed Noor (Politik Malaysia di Persimbangan, 2009) mengingatkan, merujuk tiga pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, "kita dapat melihat jatuh bangun pakatan parti oposisi meskipun mereka menggunakan dan menguasai ruang maya secara konsisten dan lebih menyeluruh berbanding BN, dan BN pula agak ketinggalan dalam penggunaan media online, namun BN tetap berupaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRU 1999 dan mencapai kemenangan terbesarnya dalam PRU 2004. Oleh itu, kempen efektif dalam ruang siber semata-mata kelihatan tidaklah memadai dalam menarik pola pengundian yang signifikan ..."klik tajuk di atas untuk kupasan lanjut


Sengaja saya tekankan hal ini memandangkan ada tanggapan daripada aktivis Pakatan Rakyat bahawa kemenangan mereka untuk pilihan raya akan datang, di zaman langit terbuka ini, agak terjamin disebabkan masyarakat semakin meninggalkan media tradisi seperti akhbar, hatta TV, dan beralih sepenuhnya kepada media baru.

"Jika media benar-benar bebas, atau kita tidak diserang bertubi-tubi oleh media yang dikawal mutlak oleh BN, nescaya rakyat akan menyokong kita," begitulah kira-kira hujah mereka.
Mereka yakin BN jauh ketinggalan dalam usaha memanfaatkan kepesatan teknologi maklumat ini. Dengan itu pengundi akan mendapat maklumat lebih seimbang daripada media alternatif dan tidak mudah tertipu lagi dengan propaganda murahan BN. Mereka juga percaya bahawa sesiapa yang menguasai informasi - kini dilambahkkan dalam media baru - maka automatik ia akan menerajui kuasa.

Maka apabila Pakatan kalah dalam mana-mana pilihan raya misalnya, yang dipersalahkan adalah kegagalan jentera penerangan untuk berfungsi dengan berkesan, terutama bagi menyanggah serangan lawan, sekali gus melakukan pujukan.

Propaganda media BN pula dikatakan begitu berjaya mempengaruhi pengundi seolah-olah mempunyai kuasa luar biasa hebatnya, meskipun parti itu dan calonnya bergelumang dengan rasuah, salahguna kuasa dan terjebak dengan kegiatan tidak bermoral. Tukang spin dilihat berupaya menjadikan "yang hitam itu putih" pada kacamata pengundi dan membuatkan kebenaran terus tertimbus dan tidak dipedulikan.

Tidak dinafikan bahawa media (sama ada tradisi mahupun baru) perlu dikuasai selok-beloknya, bukan saja dari aspek teknikal tetapi juga pengisiannya. Namun yang tidak kurang penting - malah mungkin lebih mustahak - adalah menguasai isu sebenar, merasai penderitaan rakyat, menyelesaikan masalah masyarakat, menjuarai usaha membela golongan bawahan, menampilkan kualiti kepimpinan, serta membentuk keyakinan kita mampu melakukan perubahan dan tidak mengulangi kebobrokan sistem lama. Usah remehkan kemampuan rakyat untuk menilai dan menghakimi pretasi parti dan calon yang telah diberikan kepercayaan dalam pilihan raya lalu.

Benar, politik itu permainan persepsi tetapi media juga semakin sukar memikul tugas sebagai "tukang putar". Hari ini mungkin rakyat terkeliru dan tertipu dengan kelicikan media, namun ia tidak kekal lama. Kebatilan akhirnya terbongkar jua.

Justeru, jika kita tersungkur, ia bukan semata-mata diperangkap media musuh, tetapi juga berpunca dari kelemahan sendiri, yang disaksikan secara nyata oleh pengundi.

Lihat saja pilihan raya 2004 - BN tetap jauh ketinggalan dari segi penguasaan media baru tetapi kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr Mahathir Mohamad berjaya "menyihirkan" tanggapan umum.

Oleh itu, pertama, usah terlalu yakin dengan "sakti" media baru, dan kedua, jangan memandang rendah pihak lain yang cuba mempamerkan diri mereka sebagai "telah berubah".

Malah, dengan dakwaan hegemoni pembangkang di alam siber kian terhakis, ditambah kritikan pengkaji media - merujuk semasa kempen Bagan Pinang - bahawa Pakatan Rakyat gagal memanfaatkan sebaiknya internet untuk menyanggah serangan BN, maka ia menuntut kesungguhan untuk memperbaiki kekurangan dan kealpaan itu.

Sebagai wartawan, saya lebih cenderung untuk mengingati diri tentang kelemahan dalam operasi menjuarai jihad pena ini, selain membetulkan salah tanggap ahli dan pemimpin Pakatan terhadap "mukjizat" media.

"Padang yang sama rata" pun tidak akan membawa kemenangan jika pemain tidak berketrampilan, jurulatihnya tidak kreatif dan pengurus pula tidak hiraukan kebajikan! _

nukilan manarik:
Oleh Ahmad Lutfi Othman

1 ulasan:

Mohamadazhan.com berkata...

salam akhi,

boikot saja lidah UMNO yang sentiasa menyebar fitnah dan menyesatkan. salah satu bacaan yang patut diharamkan JAKIM.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Hud ayat 15-16

15]
Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.
[16]
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.


- Pemimpin Yang Menipu Rakyat


Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).

Arkib Blog

blogger sempoi