Jumaat, 29 Januari 2010

the malaysian malay ( melayu dan malaysian)





Surat pengarang di atas dikirim untuk saya oleh seorang kawan. Saya tidak menerimanya terus daripada Dr Syed Alwi. Tetapi, daripada cara tulisan beliau dan mengetahui pandangannya secara umum, saya tahu bahawa inilah stail tulisan beliau.

Saya ingat, kira-kira 10 tahun yang lalu, selepas Parti Keadilan Nasional (PKN) ditubuhkan, saya mencadangkan agar parti tersebut menjemput wakil media untuk minum teh dan bersuai kenal dengan pemimpin di ibu pejabatnya. Oleh kerana itu idea saya, saya ditanggungjawabkan menyediakan senarai tetamu. Selebihnya akan diuruskan oleh jawatankuasa parti, seperti makanan dan sebagainya.

Itu kali pertama saya bertemu dengan kawan saya, mendiang MGG Pillai. Walaupunn saya kenal beliau daripada tulisannya di laman chatting-nya, Sang Kancil, saya belum pernah bersua muka dengan beliau.

Encik Pillai memberikan komen yang semua makanan yang disediakan adalah “tidak halal”. Bermaksud, “tidak halal” daripada pandangan seorang Hindu atau pemakan sayur (vegetarian). Segalanya ada daging lembu, termasuklah lauk sayuran. Oleh kerana PKN sepatutnya menjadi sebuah parti berbilang kaum, mengapa makanan yang lebih sesuai tidak dihidangkan? Sebagai contoh, makanan sayuran tanpa daging, atau lebih baik lagi, sebuah meja untuk santapan sayur sahaja, untuk membolehkan tetamu Hindu atau vegetarian menikmati makanan mereka.

Pandangan beliau membuatkan saya tersentak. Beliau betul. Kami mempelawa tetamu daripada pelbagai kaum tetapi tidak mempedulikan sensitiviti mereka. Apabila parti DAP menganjurkan makan tengah hari atau makan malam, mereka mempastikan bahawa beberapa buah meja hanya menghidangkan makanan yang halal di sisi Islam. Bukan sahaja demikian, tetapi yang menyediakan makanan juga beragama Islam, untuk membolehkan tetamu makan tanpa was-was.

Saya meminta maaf kepada Encik Pillai dan memberitahu beliau yang beliau memang betul. Saya mencadangkan agar salah seorang pekerja pergi ke restoran Hindu berdekatan untuk membeli makanan dan satu sudut “ halal” boleh disediakan dalam masa 30 minit.

Encik Pillai berkata itu tidak perlu. Beliau tiada masalah dengan kegagalan kami untuk menyediakan makanan yang bersesuaian. Beliau berkata yang beliau hanya membangkitkan perkara tersebut untuk mengingatkan kami bahawa sebagai sebuah parti berbilang kaum, kami harus lebih sensitif dengan keperluan setiap kaum. Encik Pillai kemudian pergi ke barisan “buffet” dan mengisi pinggannya dengan masakan ayam.

Hari keesokannya, saya membawa isu ini untuk perhatian ahli jawatankuasa – yang kebetulannya semua Melayu. Saya mencadangkan agar mengikut contoh DAP dan menyediakan lauk “vegetarian” untuk kaum Hindu dan mereka yang tidak makan daging. Mungkin lain kali apabila kad jemputan dikirimkan, tetamu boleh diminta menyatakan sama ada mereka memerlukan sebarang aturan khas.

Jawapan mereka, makanan tersebut halal dari sudut pandangan Islam, dan itu sudah cukup.

Saya jawab, apa yang halal di sisi Islam tidak semestinya halal kepada Hindu, Buddha, Jain, Vegetarian dan sebagainya. Jadi kita perlu mengambil kira keperluan mereka juga.

Ini negara Islam, kata mereka, dan yang bukan Islam harus memahami perkara ini.

Saya tergamam seketika. Saya sedar bahawa hanya sia sia untuk meneruskan perbincangan ini dengan golongan yang berfikiran sempit ini.

Orang Melayu sering memarahi bukan Melayu kerana tidak sensitif kepada perasaan umat Islam. Tetapi, adakah Melayu juga sensitif akan perasaan bukan Islam? Mengikut logik mereka, bukan Melayu perlu sensitif terhadap Melayu, tetapi Melayu tidak perlu sensitif terhadap perasaan bukan Melayu.

Dan apa yang lebih menakutkan ialah ini bukan pandangan segelintir Melayu. Ramai Melayu yang berfikiran demikian. Bagaimana harus kita membuatkan Melayu sedar yang orang lain hanya akan sensitif terhadap mereka jika mereka turut sensitif terhadap orang lain?

Ini sebabnya ada yang berperangai seperti ahli parlimen Kulim, Zulkifli Noordin. Beliau hanya berfikir tentang dirinya sendiri dan umat Islam. Yang bukan Islam tidak diendahkannya. Kepada orang seperti Zulkifli, orang bukan Islam tidak penting. Orang Islam boleh berkata sesuka hati mereka tentang agama lain – termasuk mengutuk agama lain. Tetapi jika orang beragama lain “menyindir”, “menghina”, “memperlekehkan Islam”, walaupun apa yang ditafsirkan sebagai “menghina” atau “memperlekehkan” suatu perkara yang subjektif, orang Islam mahu tindakan tegas diambil.

Melayu sering berkata, sebagai Islam, dan kerana Islam ialah agama yang cintakan keamanan, mereka bertoleransi terhadap agama lain, selagi yang bukan Islam jangan mengganggu Islam.

Kepada yang beragama Islam, ini mungkin sifat yang terpuji. Tetapi, tanya diri anda, mengapa yang beragama Islam terpaksa bertoleransi dengan agama lain? Tidakkah mereka sedar bahawa berkata demikian merupakan sesuatu penghinaan terhadap agama lain?

Mengapa bertoleransi? Bertoleransi bermaksud anda menganggap sesuatu isu itu menimbulkan masalah. Jika jiran anda membela anjing, dan anjingnya membuang tahi di laman anda, tetapi kerana itu jiran anda dan anda tidak mahu bergaduh, anda bertoleransi terhadap isu itu.

Tetapi Melayu sering berkata yang Islam bertoleransi terhadap agama lain tanpa menyedari itu satu pandangan yang sempit dan jumud.


Zulkifli Noordin membuat laporan polis terhadap ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad. Tetapi pandangan Khalid bukan pandangan beliau seorang sahaja. Ramai lagi pemimpin PAS termasuk Tok Guru Nik Aziz turut berpendapat demikian. Adakah Zulkifli Noordin juga akan membuat laporan polis terhadap Tok Guru?

Tok Guru telah menjemput lebit 200 pemimpin agama daripada pelbagai agama untuk makan bersama dalam apa yang boleh disifatkan sebagai sidang antara agama. Saya tahu Zulkifli Noordin menentang sidang antara agama. Beliau terlibat dalam demonstrasi di luar pejabat Majlis Peguam untuk membantah dialog di antara agama. Lebih lagi, beliau merempuh ke dalam perhimpunan itu dan mengeluarkan kata-kata berbentuk ancaman.

Tok Guru telah mengambil langkah ke arah perbincangan di antara agama, sesuatu yang dibantah Zulkifli Noordin. Adakah Zulkifli Noordin akan membuat laporan polis dan berdemonstrasi di hadapan rumah Tok Guru?

Tok Guru ialah seorang yang dilabel oleh Umno sebagai ketinggalan zaman, “Taliban”, ekstremis. Tetapi Tok Guru telah mempamerkan jauh lebih kematangan berbanding Zulkifli Noordin.

Melayu perlu merenungkan fakta ini. Sering kali, Melayu meluahkan kata-kata tanpa berfikir. Adakah apa yang diluahkan selama ini benar benar apa yang dalam fikiran mereka?

Apa yang akan Melayu lakukan jika kita mengharamkan penggunaan perkataan toleransi? Apa yang berlaku jika anda tidak boleh lagi berkata Islam bertoleransi terhadap agama lain?. Bagaimana anda meluahkan ayat tersebut tanpa menggunakan perkataan toleransi?

Fikir fikirkanlah.

sumber

1 ulasan:

Mohamadazhan hjDesa berkata...

salam akhi,

menarik postini, bersahaja dan sangat mendalam mesej yang disampaikan.

ana pun nampak perkara ni sebanarnya, segelintir pemimpin kurang menjaga sensitiviti kaum lain, terlalu ekstrim utk islam membuta tuli, akibatnya membawa padah kpd keharmonian kaum.

sbgai Muslim tidak salah menerima nasihat at pndangan dari Non Muslim utk kebaikan bersama, selagi tidak bercanggah dgn prinsip islam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Hud ayat 15-16

15]
Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.
[16]
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.


- Pemimpin Yang Menipu Rakyat


Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).

Arkib Blog

blogger sempoi