OGOS 29, 2009 kelmarin adalah hari peringatan ke 43 tahun, 102 tahun berlalu setelah kelahirannya pada 9 Oktober 1906. Itulah Asy Syahid Syed Qutb, intelektual Mesir, penulis revolusioner, pendidik, aktivis Islam, penyair, dan ahli gerakan Ikhwanul Muslimin setelah wafatnya Hasan Al-Banna. Apa kaitan dengan kemerdekaan dan kebangkitan Islam di negara ini?
Pertama:
Ramai yang melihat bahawa Syed Qutb menjadi salah satu arkitek utama dalam kebangkitan Islam kontemporer, bersama Abul A'la Maududi pendiri Jamaat Islami Pakistan. Syed Qutb telah memberi idea-idea dan pandangan yang memandu dan memotivasi jutaan umat Islam seluruh dunia termasuk Malaysia. Berusaha kembali mempraktekkan ajaran Islam dalam kehidupan, merubah lembaga politik dan sosial ke arah mencerminkan kembali prinsip-prinsip Islam.
Antara tulisannya yang terkenal awalnya berjudul 'Keadilan Sosial Dalam Islam', ditulis pada tahun 1949. Beliau menghabiskan waktunya pada tahun 1949 di Greeley Colorado AS untuk mempelajari kurikulum di Colorado State Teachers College, sekarang bernama Universiti Utara Colorado. Apa yang beliau lihat selama berkuliah di sana mendorongnya untuk mengutuk Amerika Syarikat sebagai negara yang hina, tempat penuh dengan materialisme dan beliau berharap umat Islam tidak bercita-cita untuk tinggal disana.
Penulis dari 24 buku ini, termasuk novel, kritik karya sastra, telah bekerja di bidang pendidikan bahkan terkenal di dunia Muslim. Beliau yakin dapat melaksanakan peraturan sosial dan politik Islam sepenuhnya. Khususnya, sila lihat dalam bukunya 'Keadilan Sosial Dalam Islam' atau 'Ma'alim Fit Thariq' (Petunjuk Sepanjang Jalan). Di samping tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Maududi, Hasan Al-Banna dan lain-lainnya, beliau dianggap paling berpengaruh serta berjuang sehingga syahid di tali gantung pada 20 Ogos 1966, bahkan sempat pula mencipta sajak terkenal berjudul 'Senyun Di Tali Gantung'.
Dikatakan dan dituduh pemikirannya menjadi inspirasi bagi maraknya radikalisme Islam. Karya tulisnya masih banyak tersedia dan telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa-bahasa di dunia. Antaranya banyak yang tergambar dalam kitab tafsir tulisannya 'Fii Zhilalil Quran'. Beliau dikenal sebagai tokoh yang total berjuang untuk agamanya, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah, seorang Mukmin yang begitu kuat keyakinannya. Beliau persembahkan nyawanya kepada keyakinan dan akidahnya.
Beliau menghabiskan bertahun tahun usia terakhirnya dalam ipenjara. Beliau tuangkan jiwa dan fikirannya yang luar biasa dalam lembar-lembar tulisan tangannya dengan untaian kata yang penuh makna dan bernilai sastra. Hampir semua orang yang membacanya, dapat merasakan getar rohani dan fikirannya dari bunyi tulisan penanya yang tercantum hebat dalam karya-karya tulisnya. Itu pandangan satu golongan.
Kedua:
Mengimbas sejarahnya, Syed Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah dari orang tua yang kuat beragama. Pada usia 6 tahun, Qutb di hantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut. Pada usia 7 tahun ia mulai menghafal Al-Qur'an. Dalam 13 tahun berikutnya, ia telah menghafal seluruh Al-Qur`an. Awal dekad 1940an, satu era baru telah mulai terjadi dalam kehidupan Syed Qutb, sebagai masa pencerahan kesedarannya terhadap Islam. Dalam karya tulisnya, ia mulai menulis beberapa siri 'At-Taswir Fanni Fil Qur'an' pada tahun 1939. Tulisan ini mengupas indahnya seni yang terdapat di dalam ayat-ayat al-Qur'an.
Pada tahun 1945 ia menulis sebuah kitab bertajuk 'Masyahidul Qiamah Fil Qur'an' yang isinya menggambarkan peristiwa hari kiamat dalam Al-Qur'an. Pada tahun 1948/9, Syed Qutb menghasilkan sebuah buku berjudul 'Al-Adalah Al-Ijtima'iyyah Fil Islam' atau Keadilan Sosial dalam Islam seperti yang disebutkan. Dalam kitab ini, ia tegas menyatakan bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai bila masyarakat menerapkan sistem Islam.
Fasa terakhir perjalanan Syed Qutb berawal pada tahun 1951, semasa beliau mulai bergabung dengan Jama'ah Al-Ikhwan Al-Muslimun, sampai tahun wafatnya di tali gantung tahun 1966. Baginya, rentang masa itu sangat penting dan kerana beliau pernah mengatakan bahawa tahun 1951 adalah tahun kelahirannya. Syed Qutb bergabung bersama Al-Ikhwan Muslimun, dua tahun selah wafatnya Imam Hassan al-Banna yang merupakan pengasas Al-Ikhwan, pada tahun 1949. Anehnya, mereka yang bergabung itu tidak pernah bertemu muka, meski dilahirkan di tahun sama 1906, dan dididik di tempat sama, di Darul Ulum.
Namun di antara mereka mempunyai kesatuan jiwa dan kesamaan orientasi berfikir. Sebelumnya, ketika Hasan Al-Banna membaca buku 'Al-'Adalah Al-Ijtima'iyyah Fil Islam', karangan Syed Qutb, beliau menganggap pengarangnya adalah sebahagian dari Al-Ikhwan. Lalu, Al-Banna telah mengatakan bahawa 'orang ini' (Syed Qutb) tidak lama lagi akan bergabung bersama Al-Ikhwan. Syed Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan Al-Banna. Kematian Al-Banna sangat membekas dalam jiwanya, meski beliau belum pernah bersama dengan Al-Banna.
Berita kematian Al-Banna diterimanya dengan perasaan tragis semasa dirawat di sebuah rumah sakit di Amerika. Kerana orang-orang Amerika bergembira menyambut berita kematian Al-Banna, maka setelah pulang dari AS, Syed Qutb mengkaji kehidupan Al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Selanjutnya ia pun memutuskan untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna. Beberapa karya Syed Qutb selanjutnya adalah: 'Haaza ad Din', 'Al-Mustaqbal Li Hadza Ad-diin', 'Khashaish Tashawwur Al-Islami', 'Ma'alim Fi Thariq', dan tafsir 'Fii Zilalil-Qur`a'n'.
Pesan utama yang ditekankan Qutb di dalam tulisan-tulisannya adalah konsep al-Tauhid dari sudut Uluhiyyah. Menurutnya inti dari Tauhid Uluhiyyah adalah hak Allah dari sudut Al-Hakimiyyah dan Al-Tasyri' (pembuatan peraturan). Kerananya, menurut Qutb ikrar 'Lailaha ilalLah' adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumiNya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hakNya.
Pada 13 Januari 1954, Revolusi Mesir mengharamkan Al-Ikhwan Muslimun dan pimpinannya ditangkap kerana dituduh sedang merancang rampasan kuasa. Tanpa bukti yang jelas, 7 orang pimpinan tertinggi Al-Ikhwan dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Muhammad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan Muslimin di dalam Perang Suez 1948. Tetapi hukuman terhadap Hasan Hudhaibi diubah menjadi penjara seumur hidup dan Syed Qutb dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.
Pada tahun 1964, Syed Qutb telah dibebaskan atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Tetapi Pemerintahan Revolusi Mesir belum menerima pembebasan tersebut. Setelah Presiden Abdul Salam Arif meninggal dalam satu musibah pesawat udara, Syed Qutb ditangkap lagi pada tahun berikutnya. Alasannya adalah kerana Qutb dituduh kembali merancang rampasan kuasa. Selain itu, Mahkamah Revolusi merujuk pada buku-buku Syed Qutb terutama Maalim Fit Thariq, yang mendasari pernyataan seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan Syari'at Allah.
Syed Qutb ditahan bersama seluruh anggota keluarganya. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan, Presiden Naser menghantar utusan menemui Syed Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta agar Syed Qutb menulis pernyataan meminta ampun agar beliau dibebaskan. Tetapi Syed Qutb dengan tegas menjawab;
"Telunjuk yang bersyahadah setiap kali dalam solat menegaskan bahawa Tiada Ilah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan Allah dan Muhamad adalah Rasulullah, dan aku takkan menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana kebenaran aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan. "
Pagi hari Isnin, 29 Ogos 1966, Syed Qutb digantung bersama-sama sahabat seperjuangannya, Muhamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Dunia Islam pun kehilangan salah satu pejuangnya yang berani mempertaruhkan nyawanya untuk membela tauhid. Untuk apakah, sekiranya di beri pilihan, kita akan mati? Sementara masih sihat, eloklah bersama-sama berdakwah sehingga syahid untuk kebaikan manusia sejagat. Begitu kisahnya.
Ketiga:
Walaupun beliau tidak pernah datang ke Tanah Melayu atau Malaysia semasa hidupnya tetapi saya melihat peranan dan pemikiran beliau memberi saham kepada kemerdekaan dan kebangkitan Islam di Malaysia. Mengapa?
A.. Pada saya kemerdekaan dan kebebasan manusia sebenarnya adalah apabila manusia itu kembali kepada agama fitrah. Fikiran musyrik dan selain dari konsep 'La Ilaha Illallah' itulah yang datang menjajah dan menserabutkan pemikiran manusia jadi tidak keruan. Fikiran itu perlu dibebaskan. Jadi, jika pemikiran Syed Qutb itu dibawa ke Malaysia, samalah dengan kita melahirkan pejuang-pejuang kemerdekaan dan pembebasan di negara ini.
B.. Walaupun Malaya sudah merdeka pada tahun 1957, tetapi kemerdekaan itu masih belum penuh atau baru kemerdekaan tahap pertama. Maka perlukan perlukan tahap kedua pula iaitu pembebasan pemikiran pula. Di situlah apabila orang-orang Islam dan PAS membawa membawa masuk pemikiran tersebut di Malaya atau Tanah Melayu, maka ianya memberi sumbangan besar kepada kemerdekaan tanah air kita yang kita cintai ini.
C.. Contohnya pemikiran Islam yang dibawa ulama 3 serangkai Sheikh Muhammad Abduh, Rasyid Ridha dan Jamaluddin Al-Afghani ke Tanah Melayu dari Timur Tengah dulu (sebelum Malaya merdeka 1957) adalah suatu gerakan pembawa pembaharuan kembali kepada Al-Quran dan Hadis. Gerakan itu juga adalah juga gerakan yang membantu ke arah pembebasan dan kemerdekaan. (Sila lihat siri-siri sejarah PAS dalam blog Ibnu Hasyim.com)
D.. Saya masih ingat, kira-kira dalam tahun 80an PAS kalah teruk setelah ditipu PERIKATAN atau BN melalui projek 'Kerajaan Campuran'. Ahli parlimennya pernah cuma tinggal seorang, iaitu Tok Guru Nik Aziz dan Kelantan pertama kali dirampas balik oleh pemerintah pusat atau Kerajaan Persekutuan selepas merdeka. Waktu itu saya baru menyertai PAS. Antara buku-buku yang dijadikan teks motivasi semula ahli-ahlinya ialah kitab-kitab karya Syed Qutb, Hasan Al-Banna dan pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin lain.
Dalam PAS berlaku peralihan kepimpinan ulama. Ustaz Fadzil Noor mengajar kitab Arab 'Fi Dzilallil Quran' di Markas PAS Kedah, Ustaz Abdul Hadi mengajar kitab 'Muallim Fit Thariq' di Terengganu dan Tok Guru Nik Aziz dengan kitab-kitabnya di Kelantan, dan begitu juga Tuan Haji Yusuf Rawa dan lain-lain. Buku-buku Hasan Al-Bana seperti wirid 'Al-Makthurat', 'Peraturan Dan Arahan' begitu terkenal pada masa itu. Pada saya, pada masa itu pemikiran Sayyid Quth yang sesuai dan telah digunakan oleh PAS untuk memotivasi serta membangkitkan umat Islam supaya kembali menegakkan Al-Quran dan Sunnah hatta di dalam politik pemerintahan negara sekalipun.
E.. Jadi, kebangkitan Islam di Malaysia adalah sebuah kebangkitan perdamaian, kebangkitan memerdeka dan membebaskan manusia kembali kepada agama fitrah dengan tidak mengganggu fahaman agama dan pemikiran orang lain. Maka peranan ulama Syed Qutb memang membantu ke arah kemerdekaan di Malaysia, atau di mana-mana di dunia, hatta di Amerika sekalipun.
Sekian Catatan Santai kali ini. Selamat Menyambut Kemerdekaan. Merdeka! Allahu Aklam.
1 ulasan:
As-Syahid Sayid Qutb antara tokoh yang aku respek,sanggup memilih tali gantung dari memilih jln kufar.Takbir!!!
Catat Ulasan