
Namun begitu, penerimaan terbuka oleh SPR dan Barisan Nasional itu diikuti pula dengan cadangan sistem biometrikyang hanya akan menambahkan masalah; bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini. Kosnya menelan belanja ratusan juta ringgit dan akan membebankan rakyat yang sudah pun berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem. Maka tidak hairanlah SPR tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang PRU13; kerana mereka sendiri sedar ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.

Justeru, pendirian banyak pihak yang mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu adalah tepat apatah lagi apabila penyelesaian sedia ada melalui penggunaan dakwat kekal adalah mudah, murah dan berkesan. Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderungan pengundi keluar mengundi.
Sistem biometrik juga akan menghapuskan proses timbang tara (melalui penyertaan ejen mengundi/polling agent dan ejen pengiraan/counting agent dalam proses membuang undi) sedia ada yang memberi ruang kepada parti-parti politik memainkan peranan memastikan pilihanraya adalah adil dan saksama. Apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi.
Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihanraya yang bersih dan adil. Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui BERSIH 2.0.

*Kenyataan daripada sekretariat Pakatan Rakyat, diwakili Mohd Hatta Md Ramli (Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS), Liew Chin Tong (Setiausaha Antarabangsa DAP) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategi PKR).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan