“Apa hal aku nak pergi tempat dia? Aku lebih tua daripada dia, jadi dialah yang kena datang jumpa aku. Lagipun aku lebih kaya daripada dia, jatuhlah standard aku kalau aku yang pergi menghadap dia.”
Selalu benar kita dengar ungkapan ini, jika pun tidak terlahir secara nyata, ia sekadar berbisik dalam hati. Walaupun sekadar berbisik dalam hati, tetapi kenyataan ini jelas menyerlahkan sifat takbur, bongkak, sombong dan angkuh individu. Ini sudah tentunya bukan sifat yang harus menjadi cermin peribadi seorang muslim. Sifat takbur, bongkak, sombong dan angkuh jelas asalah sifat yang dibenci dan diharamkan Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong takbur.” (Surah an-Nahl [016], ayat 23)
Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya agar tidak bersifat takbur melalui hadis-hadis baginda. Antara sabda Rasulullah daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. bahawa baginda SAW bersabda yang maksudnya,
“Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari kesombongan dan tidak akan masuk neraka orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari iman.” (Hadis riwayat Muslim, Ibnu Mas’ud dan Ibnu Majah)
Dari Abu Salmah bin Abdur Rahman, Abdullah bin Amr dan Abdullah bin Umar berjumpa di Shafa. Kedua-dua bergandingan lalu Ibnu Amr Berlalu dan Ibnu Umar berdiri menangis, mereka bertanya, “Mengapa engkau menangis, hai Abi Abdurrahman?” Dia berkata, “Itu!”, yakni Abdullah bin Amr. Ia mengira dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang hatinya ada kesombongan sebesar biji sawi, Allah akan membanting mukanya ke Neraka.” Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang menyombongkan dirinya (takbur) di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Mereka (yang bersifat demikian) jika melihat tiap-tiap ayat (Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk (hidayah), mereka tidak mahu menempuhnya (tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui), tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya (mengambilnya sebagai jalan yang dilalui). Yang demikian itu, adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya.” (Surah al-A’raaf [007], ayat 146)
Juga sabda Rasulullah SAW lagi dalam hadis Qudsi yang bermaksud,
“Allah berfirman, sifat kesombongan itu kain selendang-Ku dan sifat kebesaran itu kain sarung-Ku. Maka sesiapa merampas dari-Ku salah satu daripada kedua-duanya, nescaya Aku lemparkan dia ke dalam neraka jahanam dan tidak Aku pedulikan dia lagi.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan lain-lain)
Kita seharusnya menjauhi sifat-sifat tercela kerana Islam amat melarang umatnya bersifat seperti sombong, takbur, riak, keras kepala, suka tamak dan sebagainya kerana semua sifat-sifat ini boleh menyeret seseorang itu ke dalam neraka. Seperti yang disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Bukankah aku telah memberitahu kamu tentang ahli-ahli neraka? Mereka itu ialah orang-orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakannya untuk kebaikan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sombong! Memang tidak seharusnya kita sebagai hamba Allah SWT memiliki sifat sombong di hadapan Allah SWT kerana kita adalah ciptaan-Nya. Sungguh tidak ada apa-apa kehebatan pun pada kita jika hendak dibandingkan dengan kebesaran Allah SWT. Cukuplah seseorang itu dikatakan sombong jika menolak kebenaran dan suka merendahkan orang lain.
Cerita tentang kesombongan, takbur, selalu membanggakan diri adalah sebuah kisah yang lebih tua jika dibandingkan dengan permulaan kehidupan manusia di muka bumi ini. Ia berlaku ketika Iblis enggan bersujud pada makhluk bernama Adam disebabkan rasa penciptaan dan statusnya yang lebih baik. Allah melihat tingkah dan sikap Iblis ini dengan firman-Nya,
“Hai Iblis, apakah yang menghalang mu untuk bersujud kepada yang telah Ku ciptakan. Apakah kamu menyombongkan diri (takbur) atau kamu merasa termasuk orang-orang yang lebih tinggi?” Iblis terus menjawab, “Ya Allah, aku (memang) lebih baik jika dibandingkan dengan Adam. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan Adam, Engkau ciptakan dari tanah.” Mendengar jawapan Iblis yang sombong, Allah berfirman, “Keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan