Rabu, 3 Ogos 2011

Kelantan – wujudkah sistem ekonomi Islam?

Membaca sekali lagi buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman” karangan Prof Shaharhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgZysU0Rj3gUBXAscx-REuLqciCw_BZeC5duAaiezhCVNYDG-Gssx0y48PzF9ALqpVRY1tAQrHo0H1fiwlqp4aSitbd4TJb4iVZvK56oKW__zrzQTFbAjWJEgf82Z8eQMqCwZ9GOUHc-w/s1600/nik.jpgir Mohamad Zain, kerana satu keperluan untuk bercakap mengenainya di suatu majlis Persatuan Anak-Anak Kelantan di Perantauan (Perakan), ada beberapa perkara ingin saya timbulkan.

Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan bukan hanya terbatas kepada bidang-bidang dakwah, pentadbiran dan tarbiyah Islamiyah sahaja, tetapi juga merangkumi bidang ekonomi dan perniagaan. Kata Shaharir:



“Nik Aziz sebenarnya mempunyai pemikiran ekonomi keIslamannya yang tersendiri, selain daripada mengutamakan ekonomi kebahagiaan daripada ekonomi pembangunan (yang diperolehnya menerusi tafsirannya sendiri terhadap beberapa ayat al-Quran sesuai dengan taraf ulamanya), yang setengahnya telah cuba dilaksanakan dengan batas-batas kudrat politik, kewangan dan ilmu yang ada padanya. Pemikiran ekonominya yang agak berlainan dengan sarjana-sarjana ekonomi Barat dan bahkan sarjana Islam lain sekalipun, ialah tentang konsep pembangunan, takrif ekonomi serta konsep kemiskinan dan strategi memperbaiki keadaannya.” (hal.34)

Orang jarang memberi perhatian kepada aspek ini, walaupun ia pernah dihuraikan oleh Surtahman dan Norfadzilah pada tahun 2004 lagi, dalam tulisan mereka berjudul “Pemikiran Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ekonomi”, yang disiarkan dalam Jurnal Usuluddin 20 (2004).

Dan mengikut Prof Shaharir, “pandangan Nik Aziz ini, jika dikembangkan oleh sarjana lain lagi, tentunya mengubah hampir semua teori ekonomi kini.”

Hebat! Kalau ia boleh mengubah hampir semua teori ekonomi kini, itu tentulah sesuatu yang luar biasa hebatnya. Cumanya kita kurang memberi perhatian kepada perkara tersebut. Inilah masalahnya. Makanya saya bercadang untuk menimbulkan perkara ini dalam majlis Perakan di Kelana Jaya, 30 Julai itu.

Sewaktu mengendalikan pengisian majalah Qiadah tahun lalu, saya meminta seorang sarjana ekonomi di Universiti Malaya, Dr Mohd Rosli Mohamad, menulis mengenai ekonomi Kelantan. Alhamdulillah, tulisannya berjudul “Penilaian Holistik Ekonomi Kelantan – Antara kaca mata Kapitalis dan perspektif Islam” (Qiadah, Ramadhan 2010) itu pada umumnya menyokong pandangan Shaharir tadi.

Dr Mohd Rosli antara lain menceritakan pengalamannya membawa seorang profesor Ekonomi Pembangunan dari sebuah universiti terkenal di Amerika, melawat Kelantan. “Dalam teori Barat yang dianutinya,” tulis Mohd Rosli, “semakin tinggi bilangan anak maka semakin rendah taraf sosio-ekonomi sesebuah keluarga, kerana teori ekonomi Kapitalis percaya bahawa anak adalah liabiliti (beban) ekonomi.”

Tetapi selepas beberapa siri lawatan, temubual dan perbincangan di Kelantan, profesor ekonomi dari Amerika itu mendapati terdapat fakta di Kelantan yang mencabar teori ekonominya. Fakta tersebut ialah: orang Kelantan suka memiliki saiz keluarga yang besar, atas kepercayaan bahawa anak-anak mereka akan memberi bantuan kepada mereka, menjelang usia emas nanti.

Dan terbukti, melalui pemerhatiannya sendiri, bahawa keluarga yang mempunyai ramai anak di Kelantan tidak semestinya terdiri daripada keluarga yang rendah taraf sesio-ekonominya.

Memang fakta itu bukanlah hasil daripada kepimpinan Tok Guru Nik Aziz, tetapi lebih merupakan tradisi orang Kelantan sendiri. Namun ia suatu yang sangat menarik, kerana menunjukkan hal-hal yang biasa seperti itu pun, apabila dilihat dalam perpektif teori ekonomi antarabangsa, ia adalah sesuatu yang sangat penting. Boleh merubah sebuah teori yang digunapakai di peringkat dunia.

Sebelum itu Mohd Rosli telah membuktikan bahawa tanggapan umum yang mengatakan penduduk Kelantan miskin dan mundur adalah tidak benar. “Harus diingat,” katanya, “bahawa kelemahan utama pengiraan KDNK ialah kegagalannya untuk mengambil kira aktiviti bukan kewangan dan aktiviti ekonomi tidak formal.

“Sedangkan rakyat Kelantan, selaras dengan ajaran Islam, suka bertani, menternak dan menangkap ikan untuk kegunaan mereka sendiri. Mereka juga gemar berniaga secara kecil-kecilan (tanpa pendaftaran) untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.”

Antara rumusan menarik yang dibuat oleh Mohd Rosli ialah: “Walaupun pendapatan penduduk negeri Kelantan lebih rendah berbanding dengan negeri-negeri maju lain di Semenanjung, kualiti hidup mereka jauh lebih baik. Mereka tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja. Penduduk Kelantan juga tidak perlu menghidu asap kilang dan kenderaan yang keterlaluan; dan ini menjimatkan bil kesihatan mereka setiap bulan.”

Ada banyak lagi maklumat menarik mengenai ekonomi Kelantan dipaparkan dalam tulisan tersebut. Namun itu hanyalah secebis sahaja daripada banyak lagi maklumat dan fakta yang belum diangkat untuk perbincangan, bagi melihat impak kepimpinan Tok Guru Nik Aziz terhadap “konsep pembangunan, takrif ekonomi serta konsep kemiskinan dan strategi memperbaiki keadaannya,” seperti yang dimaksudkan oleh Shaharir.

Dan Shaharir juga menyebut beberapa permasalahan dalam amalan ekonomi hari ini, yang sepatutnya diberi perhatian oleh pihak pentadbiran di Kelantan, bagi menyempurnakan langkah-langkah yang telah dibuat oleh Tok Guru Nik Aziz.

Misalnya apakah tidak ada lagi ikhtiar yang boleh dibuat oleh pihak pentadbiran Negeri Kelantan bagi menghapuskan terus unsur-unsur riba’ dalam amalan perniagaan hari ini? Apa yang didakwa sebagai penghapusan riba’ dalam sistem perbankan Islam yang diamalkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan kita hari ini, belumlah mencukupi. Unsur-unsur penindasannya masih wujud.

Seorang sahabat saya, penganut sosialis tegar, masih menafikan wujudnya sistem Ekonomi Islam. Katanya hanya ada dua sahaja sistem ekonomi dalam dunia hari ini, iaitu Kapitalis dan Sosialis. Dengan sekadar adanya pengharaman riba’ dalam perniagaan dan hukum wajib mengeluarkan zakat, katanya, itu belumlah mencukupi untuk menjadi sebuah sistem ekonomi.

Saya berasa agak terkilan tidak dapat menyanggah pandangannya itu dengan bukti-bukti yang boleh meyakinkan. Maka saya berharaplah, agar pihak Kerajaan Negeri Kelantan boleh melakukan sesuatu dalam perkara ini.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Hud ayat 15-16

15]
Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.
[16]
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.


- Pemimpin Yang Menipu Rakyat


Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).

Arkib Blog

blogger sempoi