Sabtu, 13 Ogos 2011

Terharu melihat sokongan ramai: Chon Kai rasa penahanannya "berbaloi"

Terharu melihat sokongan ramai:
Chon Kai rasa penahanannya "berbaloi"


Di luar dugaan, rakyat jelata tanpa rasa takut tampil untuk menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan, sepanjang tempoh penahanan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) - sehingga mereka dibebaskan. Sokongan yang melambak ini amat terharu buat Choo Chon Kai, antara enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat (EO6), sehingga menganggap penahanan terhadap dirinya adalah "berbaloi"!

Choo Chon Kai (gambar kanan) agak terkilan apabila diberitahu oleh peguamnya pada 7 Julai, bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 akan diadakan di dalam stadium. Beliau bimbang keputusan ini bakal menggagalkan perhimpunan BERSIH 2.0, lantas memberi tamparan terhadap gerakan demokrasi di Malaysia.

Beliau yang diputuskan dari semua saluran maklumat sungguhpun resah dengan apa yang berlaku pada 9 Julai, namun tetap enggan bertanya pegawai polis ataupun SB (anggota cawangan khas) mengenai perhimpunan tersebut. "Kerana saya sedar, mereka tidak akan memberitahu apa yang berlaku sebenarnya. Ada yang berkata kepada saya, hanya 20 orang ditangkap, dan Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS) terjatuh dari motorsikal," katanya.

Sehinggalah Setiausaha Agung PSM, Arutchelvan dibenarkan untuk mengunjunginya pada 15 Julai, membawakannya khabar yang cukup memberangsangkan Chon Kai, meskipun masih berada dalam tahanan. 50 ribu peserta menembusi sekatan polis dalam bandar, malah Marina Mahathir, anak mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad juga turun ke jalan raya.

"Saya teruja dengan khabar itu. Dengan tiba-tiba, bersemangat semula..." katanya ketika diminta untuk menyifatkan perasaannya pada ketika itu, dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, pada 7 Ogos 2011.

Petugas bank sanggup menunggu

Bagaimanapun, kejayaan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 tidak membebaskan EO6 serta-merta, malah ada suara yang mempertikaikan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan kerana tidak mensyaratkan agar EO6 dibebaskan sebelum bersetuju untuk berhimpun di stadium. Ambiga (gambar bawah) menghadiri candle light vigil menuntut pembebasan EO6 hampir setiap malam, malah mendakwa BERSIH 2.0 hanya akan menyambut kejayaannya setelah EO6 dibebaskan.

Apakah mereka yang masih ditahan itu "tersinggung" apabila pembebasan mereka tidak dijanjikan terlebih dahulu, sebelum BERSIH 2.0 mengangguk kepada perhimpunan dalam stadium?

"Itu tidak mustahak," jawab Chon Kai secara terus-terang, malah beberapa kali menegaskan, "Yang penting, perhimpunan BERSIH 2.0 berjaya diadakan!"

Meskipun sedikit "ralat" kerana gagal turut serta dalam perhimpunan BERSIH 2.0, namun segala-galanya terubat apabila Chon Kai diceritakan oleh rakan seperjuangannya, bagaimana masyarakat umum menghulurkan tangan dan menyuarakan sokongan mereka sepanjang penahanan EO6.

"Saya terperanjat dengan apa yang telah dilakukan dalam tempoh sebulan itu. Bayangkan, lebih 600 laporan polis dibuat untuk membantah penahanan EO6 dalam masa satu hari. Sebelum ini ada pihak juga membuat laporan polis untuk membantah perhimpunan BERSIH, jadi mereka sedar betapa susahnya nak mengerah tenaga untuk melakukan kerja-kerja itu. Namun, parti yang kecil seperti kami mampu melakukannya. Pengadu bertindak atas inisiatif sendiri, bukan kerana menerima wang..." sindirnya secara berlapik.

Apa yang lebih terharu buat Chon Kai, dan juga rakan-rakan seperjuanganya adalah, sokongan daripada rakyat jelata terhadap parti politik yang namanya mungkin tidak dikenali sebelum ini. Chon Kai diceritakan bagaimana PSM perlu mengumpul RM192 ribu dalam masa dua jam, untuk mengikat jamin 24 tahanan (RM8,000 setiap orang) pada 4 Julai 2011, di Mahkamah Majistret/Seksyen Butterworth.

"Mereka sengaja melengah-lengahkan sehingga kira-kira jam 4.30 petang. Maknanya, seandainya wang gagal dikumpulkan sebelum bank tutup pada jam 5 petang, maka 24 orang tahanan tersebut perlu meringkuk satu malam lagi di lokap. Namun, kami diberitahu petugas bank, 'Jangan risau, kami sanggup menunggu, kerana kami sokong kamu semua!'"

"Dan petugas bank itu terdiri daripada pelbagai kaum..." katanya, yang masih terharu dengan adegan itu. Choo Chon Kai mengisahkan semula cerita-cerita ini kepada MerdekaReview. "Mereka sokong dengan tindakan mereka. Peguam kami, Edmund Bon, lampu pejabatnya masih menyala, dan ramai stafnya masih bekerja untuk permohonan habeas corpus kami, pada awal pagi, ketika Arul pergi untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan."

Ini belum termasuk kira-kira 5,000 orang doktor swasta di seluruh negara yang tampil menuntut pembebasan ahli parlimen Sungai Siput Jeyakumar Deveraj; Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga membuat kenyataan... semua ini berlaku buat kali pertama, kata Chon Kai.

"Candle light vigil hampir setiap malam, kenyataan bersama, petisyen dan sebagainya... Tekanan yang begitu besar ke atas kerajaan. Malah, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga melalui twitternya membantah penahanan Jeyakumar Deveraj!"

Mengapa tidak dibebaskan serta-merta selepas 709?

Jika itulah tekanannya, mengapa EO6 tidak dibebaskan serta-merta selepas 709?

Menurut analisa Choo Chon Kai, banyak faktor, terutamanya "arus yang menderas di bawah permukaan" menjurus kepada keadaan sebegitu. Beliau berkata, polis dan kerajaan BN menerima tamparan sengit pada 709, kerana dengan segala sekatan yang dilakukan, mereka gagal menghalang kemaraan rakyat. Justeru itu, seandainya mereka terus dibebaskan sehari selepas 709, maka ia satu tamparan lagi untuk polis.

Chon Kai meramalkan arahan penangkapan terhadap aktivis PSM itu datang dari pimpinan atasan. Dua bas, dengan satu dari Utara dan satu dari Selatan, ditahan dengan alasan yang sama, iaitu disyaki memiliki senjata. Padahal, mereka telah menerima satu sms, mendakwa PSM akan mencetuskan huru-hara, malah maklumat nombor plat bas mereka turut dinyatakan dalam sms tersebut.

"Kedua-dua bas kami ditahan dengan tuduhan yang amat berat, mustahil ia berlaku secara 'kebetulan'. Kemungkinan besar arahan untuk menahan kami datang dari pimpinan atasan," kata Chon Kai.

Beliau selanjutnya berkata, siasatan dimulakan dengan Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong. Mengikut logik, polis seharusnya menggeledah rumah dan pejabat tahanan, kerana ia tuduhan yang serius, katanya.

"Namun ia tidak berlaku dalam tujuh hari pertama selepas kami ditahan. Ini bermakna polis sendiri tidak percaya tuduhan sebegitu!" katanya sambil ketawa. Beliau mengulas kemudian, bahawa tuduhan yang berat itu dikenakan untuk menakut-nakutkan orang ramai, supaya tidak berani tampil menyokong tahanan.

Mengapa pula PSM dijadikan sasaran? "Kerana PSM sebuah parti yang kecil. Seandainya PAS disasarkan, mungkin ia mengundang kesan sebaliknya, kerana ramai yang akan bangkit menyatakan bantahan. Mungkin kerajaan menganggap dengan parti yang kecil sebegitu, ditambah pula tuduhan yang berat, mereka berjaya menghalang penyertaan rakyat, dengan ketakutan yang cuba disemaikan."

Chon Kai meneruskan, "Tapi kesemua ini tidak berlaku! Rakyat tetap menyertai candle light vigil, malah perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan dengan kehadiran yang begitu memberangsangkan!"

Satu ujian terhadap anutan politiknya

Chon Kai menjangkakan dirinya bersama rakan seperjuangannya yang lain akan ditahan lebih lama. "Mereka menyemak rekod kami ke luar negeri. Asalkan kami pernah melawat selatan Thai, kami akan dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Untuk regim ini, mereka sanggup mencari pelbagai alasan untuk menghalalkan penahanan ke atas kami. Masakan T-shirt pun boleh dijadikan senjata, apa lagi yang tidak boleh?"

Chon Kai menekankan, penangkapan mereka sebermulanya, dan pembebasan mereka di penghujungnya - kesemuanya adalah keputusan politik! Untuk dirinya, penahanan ini adalah satu ujian - sejauh manakah dirinya yakin dengan anutan politiknya. Chon Kai yang kini semakin yakin dengan perjuangannya berkata, "Melihat kepada kesedaran dan kebangkitan rakyat, penahanan ke atas diri saya selama 30 hari itu, berbaloilah!"

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Hud ayat 15-16

15]
Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.
[16]
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.


- Pemimpin Yang Menipu Rakyat


Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).

Arkib Blog

blogger sempoi